SEBELUM pemergian suaminya yang juga pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, pelakon Datin Seri Zizie Ezette sempat meluahkan perasaan yang cukup menyentuh hati.
Menurut Zizie atau Zizie Izette Abdul Samad, 47, dia cukup mengenali hati budi suaminya sepanjang 16 tahun perkahwinan mereka .
“Mereka mungkin tidak tahu isi hatinya, tetapi saya tahu.

Zizie tahu betapa murninya hati arwah suaminya selama 16 tahun mereka hidup bersama.
“Selama 16 tahun saya melihat sendiri kebaikannya, kemurahan hatinya, serta kasih sayangnya yang tidak pernah mementingkan diri sendiri terhadap orang lain. Tolong doakan dia,” tulisnya.
Coretan itu dikongsikan Zizie menerusi hantaran di Instastory pada malam Khamis, beberapa jam sebelum berita pemergian suaminya disahkan.
Dalam satu hantaran berbeza dia juga sempat memuat naik kata-kata harapan serta doa ketika suami sedang sakit.
Malah, abang kepada Zizie iaitu Samzy Fuzette turut berkongsi di Instastory bahawa dia sedang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Bung Moktar meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: “Semoga tabah, Allah mengetahui segalanya” - Peminat beri kata-kata semangat kepada Zizie
Difahamkan, ahli keluarga Zizie yang lain juga bergegas dari Kuala Lumpur dan berlepas awal pagi Jumaat ke Kota Kinabalu bagi menziarahi arwah.
Allahyarham Bung Moktar menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi Jumaat di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Perkara itu disahkan anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, ahli Parlimen Kinabatangan berusia 66 tahun itu dilaporkan menerima rawatan akibat kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan teruk pada paru-paru.

Abang Zizie dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.
Allahyarham juga baru sahaja mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Kemenangan tipis pada PRN kali ini sekali gus membuatkan pemergiannya mendapat perhatian luas dalam kalangan masyarakat dan pengundi setempat.
Untuk rekod, Zizie berkahwin dengan Allahyarham pada tahun 2009 sebagai isteri kedua.
Pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata serta memiliki dua orang anak angkat.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


