PENYANYI Datuk Awie meluahkan rasa gembira apabila mendapat tahu pelakon Erra Fazira bakal melangsungkan pernikahan dengan usahawan dalam masa terdekat.
Menerima undangan untuk hadir ke majlis persandingan, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 57, memberitahu dia pastinya akan hadir meraikan hari bahagia Erra bersama usahawan Ezwan Zain.
“Baru tadi dia jemput saya datang majlis sanding pada 27 Disember.

Awie akan hadir di majlis persandingan Erra nanti.
“Tapi untuk nikah 12 Disember tu saya rasa tak perlulah. Biarlah dia nikah dengan aman.
“Insya-Allah, selesai konsert di Singapura pada 26 Disember, saya balik dan esoknya saya akan pergi majlis sanding dia,” katanya kepada mStar.
Awie berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas sidang media Sembilu The Reunion Live in Concert di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada Khamis.
Penyanyi ini dalam masa sama mengakui hatinya turut tumpang bahagia mengenangkan sejarah hubungan mereka yang pernah melalui pelbagai fasa bersama.
ARTIKEL BERKAITAN: Perpecahan kumpulan biasa terjadi, Awie terima dengan lapang dada… Tak lupa doa buat dua bekas anggota Wings
ARTIKEL BERKAITAN: “Amy Search, kau ceritalah benda yang betul” - Awie
“Bila dengar dia nak kahwin, saya tumpang gembira sangat-sangat.
“Yalah… kami pernah berkawan, bertunang, bergaduh, bersahabat. Jadi saya rasa persahabatan ini perlu diteruskan,” ujarnya.
Awie juga mendoakan agar Erra menemui kebahagiaan dan terus ceria dengan kehadiran pasangan hidup yang bakal menjaga pelakon itu pada usia mencecah 50-an.

Awie (tengah), Erra (kanan) dan Ziana Zain akan bergandingan dalam konsert Sembilu The Reunion.
“Saya doakan kebahagiaan dia supaya sentiasa ceria pada masa akan datang, dengan adanya suami yang menjaga.
“Wanita, umur dah 50-an… dia perlukan seorang suami untuk menjaga dia. Saya doakan dia bahagia, Insya-Allah,” katanya.
Erra dijangka melangsungkan akad nikah pada 12 Disember sebelum meraikan majlis persandingan bersama Ezwan Zain pada 27 Disember ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


