PELAKON Datin Seri Zizie Ezette tiba di pekarangan kediaman Idang Residen, Luyang, Sabah pada pagi Jumaat dengan langkah yang longlai, mata merah menahan hiba.
Hanya esakan tangisan kedengaran ketika Zizie atau Zizie Izette Abdul Samad, 47, datang untuk menatap jenazah suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, buat kali terakhir.
Zizie hadir sekitar pukul 9.30 pagi bersama empat anak mereka sebelum bergegas memasuki ruang tamu, tempat jenazah Allahyarham ditempatkan.

Zizie ketika memeluk madunya sejurus tiba di kediaman Idang Residen, Luyang, Sabah.
Dalam suasana penuh sebak itu, Zizie turut memeluk madunya, Datin Nor Asidah Alimuddin, sebaik melangkah masuk ke kediaman berkenaan.
Turut kelihatan adik Zizie yang juga pelakon, Shaheizy Sam yang hadir bersama ahli keluarga lain bagi memberikan semangat buat kakaknya itu.
Difahamkan, Zizie dan anak-anak baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat selepas menerima berita pemergian suaminya.
Sebelum mengiringi pemergian terakhir Allahyarham, Zizie sempat menitipkan coretan menyentuh hati di Instastory pada malam Khamis, hanya beberapa jam sebelum berita dukacita itu disahkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Sempat luah isi hati sebelum suami meninggal dunia, Zizie Ezette dedah kebaikan arwah Bung Moktar… Keluarga bergegas ke Kota Kinabalu
ARTIKEL BERKAITAN: Bung Moktar meninggal dunia
Coretan itu menggambarkan betapa besar kasih sayang yang terbina sepanjang 16 tahun perkahwinan mereka serta kehidupan yang dikongsi bersama tiga cahaya mata.
Pemergian Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah disahkan anaknya, Naim Kurniawan Moktar, selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Allahyarham, 66, sebelum itu menerima rawatan akibat kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan teruk pada paru-paru.
Beberapa jam sebelum jenazah diuruskan, ahli keluarga terdekat termasuk abang Zizie, Samzy Fuzette, turut berkongsi di Instastory mereka sedang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu untuk memberi sokongan kepada keluarga.

Zizie dan arwah sudah 16 tahun hidup bersama.
Kediaman keluarga di Luyang pada pagi Jumaat itu menjadi saksi kepada detik paling memilukan buat mereka yang ditinggalkan.
Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah sejurus selesai Solat Jumaat, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas.
Untuk rekod, Zizie berkahwin dengan Allahyarham pada tahun 2009 sebagai isteri kedua.
Pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata serta memiliki dua orang anak angkat.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


