DI sebalik ketegasan dan kelantangan bersuara di Dewan Rakyat, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dikhabarkan sering berzikir.
Perkara itu didedahkan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah yang duduk bersebelahan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu sepanjang tempoh sidang Parlimen.
"Hari ini, seorang sahabat yang duduk di sisi saya dalam dewan berpulang pergi.
"Hari ini, beliau kembali kepada Pencipta pada hari Jumaat yang mulia; hari yang dipilih, hari yang dijanjikan sebagai perlindungan dari azab kubur bagi insan yang Allah muliakan perjalanannya.
"Ramai mengenal ketegasannya, tetapi saya mengenal sisi yang jarang terlihat. Jarinya sentiasa tergenggam tasbih apabila berada di dalam dewan," ujarnya menerusi hantaran di Facebook [Tonton Video].
Menurut Ahli Parlimen Paya Besar itu lagi, Allahyarham biasanya berzikir dalam nada perlahan namun masih didengarinya.
Malah katanya, alunan zikir tersebut membuatkan hatinya berasa tenang dan damai.
"Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami, zikir yang tidak kuat, tetapi cukup untuk membuat hati ini berasa damai.
"Itulah bunyi yang kini tinggal sebagai kenangan," tambahnya sambil berkongsi video Bung Moktar membetulkan pin bajunya.
Baginya, setiap gerak geri Allahyarham penuh bermakna selain gemar membantu dalam senyap.
"Satu detik kecil, tetapi penuh makna. Begitulah beliau... membantu dalam senyap, hadir dengan ihsan, lebih banyak lembutnya daripada yang dunia sempat tahu.
"Semoga Allah melapangkan perjalanannya, mengampunkan segala salahnya dan menempatkannya di taman-taman yang tenang.
"Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang, zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang.
"Budi yang kau tinggal, menjadi doa yang panjang, semoga damai menjemputmu, dalam kasih Allah yang lapang," tambahnya.


