suria

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan, ratusan individu iringi perjalanan akhir

Ratusan terdiri daripada ahli keluarga, pemimpin politik dan kenalan mengiringi perjalanan akhir Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

ALLAHYARHAM Datuk Seri Bung Moktar Radin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah sekitar pukul 2.25 petang.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila ratusan ahli keluarga, pemimpin politik dan kenalan mengiringi perjalanan akhir Ahli Parlimen Kinabatangan tersebut. 

Antaranya Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin yang juga Setiausaha Umno Sabah; Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar, ahli keluarga dan rakan-rakan rapat.

ARTIKEL BERKAITAN: Bung Moktar meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Kakitangan perubatan dedah sisi baik Bung Moktar, akui watak berbeza dari TV - "Datuk rupanya warak juga kan"

Terdahulu jenazah disolatkan selepas solat Jumaat dengan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Imam Suhaidi Kuanting.

Turut hadir menunaikan solat jenazah ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun serta beberapa pemimpin lain.

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Kota Kinabalu sekitar pukul 2.25 petang Jumaat.

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Kota Kinabalu sekitar pukul 2.25 petang Jumaat.

Jenazah kemudian tiba di tanah perkuburan pada pukul 1.45 tengah hari tadi untuk dikebumikan.

Allahyarham yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi Jumaat, di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.

Allahyarham juga merupakan Adun bagi kawasan Lamag sejak September 2020 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri I serta Menteri Kerja Raya Sabah dari September 2020 hingga Januari 2023.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung 29 November lalu dengan majoriti 153 undi dalam persaingan enam penjuru.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad serta tujuh orang anak.

Artikel Lain