SEORANG pemuda ditahan kerana disyaki memaksa gadis berusia 19 tahun mengambil ubat dipercayai bertujuan menggugurkan kandungan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Sungai Buloh pada 3 Disember lalu berhubung kes berkaitan pengguguran kandungan.
"Siasatan mendapati wanita terbabit melahirkan bayi pramatang berusia lapan bulan di sebuah klinik swasta di Rawang pada 2 Disember, kira-kira pukul 7.10 pagi, sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
"Bayi tersebut disahkan meninggal dunia pada 3 Disember pukul 12.30 tengah hari akibat komplikasi pramatang dan kekurangan oksigen ke otak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana perbuatan dengan niat mengelakkan anak dilahirkan hidup atau menyebabkan kematian selepas dilahirkan.
Ujarnya, pemuda berkenaan direman empat hari hingga 7 Disember bagi membantu siasatan, manakala wanita berkenaan turut disiasat sebagai suspek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Prakash A/L Sithambaram di talian 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-6126 2222.


