SELAMA dua hari, seorang warga emas yang cacat penglihatan merangkak dan meredah hutan bagi mendapatkan bantuan selepas anak perempuannya meninggal dunia di pondok terpencil yang mereka diami.
Menurut laporan Sin Chew Daily, wanita warga emas itu setia di sisi mayat anak perempuannya selama beberapa hari sebelum berusaha keluar mencari bantuan.
Kisah menyayat hati tersebut berlaku di sebuah kawasan terpencil berhampiran Kampung Tambey, Samarahan, Sarawak, iaitu kira-kira 30.5 kilometer dari pusat bandar Kuching.
Dilaporkan, anak perempuannya yang berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira enam hari lalu.
Selepas menyedari anak perempuannya sudah tidak bernyawa, warga emas tersebut nekad menyusuri hutan untuk meminta bantuan dan akhirnya tiba di tepi jalan utama sekitar pukul 6 pagi Jumaat.
Dia menahan pengguna jalan raya untuk memaklumkan tentang kematian anaknya, yang seterusnya menghubungi pihak berkuasa.
Berikutan maklumat tersebut, pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) segera bergegas ke lokasi pondok dua beranak berkenaan sebelum menemukan mayat anak perempuannya yang sudah reput.
Pihak berkuasa kemudian membawa mayat tersebut ke bilik mayat hospital untuk tindakan lanjut, manakala warga emas berkenaan dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Difahamkan pihak polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.


