suria

Berang dituduh curang, pengawal ladang penggal kepala isteri… Usung keliling kampung sebelum serah diri di balai polis

Suspek mengaku berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian berlaku. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki tergamak memenggal kepala isterinya sebelum berjalan di sekitar kampung sambil membawa anggota badan tersebut dalam satu kejadian ngeri di Korba, Chhattisgarh, India.

Suspek berusia 58 tahun, Salik Ram Yadav, dipercayai bertindak demikian selepas berlaku pertengkaran dengan isterinya yang berusia 50 tahun pada petang Rabu.

Menurut polis, lelaki yang bekerja sebagai pengawal di sebuah ladang ternakan ayam itu didakwa menyerang mangsa menggunakan senjata tajam ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

Lebih menggemparkan, suspek kemudian dilihat berkeliaran di kampung sambil menjinjing kepala isterinya dan senjata yang digunakan.

Dia kemudiannya memasukkan kepala mangsa bersama senjata ke dalam beg plastik sebelum menyerah diri di pondok polis Rajgamar.

Hasil siasatan awal mendapati suspek mendakwa tindakan itu berpunca daripada pertengkaran berterusan, termasuk tuduhan isterinya yang sering mengesyaki dirinya berlaku curang.

Difahamkan pasangan tersebut berasal dari kampung Ajgarbahar Haldimada dan telah bekerja di ladang ternakan berkenaan sejak tiga tahun lalu serta mempunyai empat orang anak.

Suspek kini ditahan polis, manakala senjata yang digunakan dirampas. 

Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan. -Agensi

Artikel Lain