SEORANG lelaki dan wanita maut selepas Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) yang dinaiki terhumban ke dalam gaung sedalam 60.96 meter di Kilometer (km) 52 Jalan Kuala Jeneris - Sg Gawi - Aring (Bukit Kawah).
Mangsa dikenali sebagai Hassan Shazali, 52, seorang guru dan pasangannya, pekerja kantin Suzaimah Che Azis, 34.
Lebih menambah rasa sedih apabila kedua-dua mangsa yang terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 5.30 petang, Jumaat itu dikhabarkan bakal berkahwin pada 25 Disember ini [Tonton Video].
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, maklumat diterima mengenai kejadian kemalangan jalan raya di kawasan yang ditutup laluannya pada pukul 5.30 petang.
Menurutnya, kemalangan membabitkan MPV yang difahamkan terbabas ke dalam gaung dan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu adalah guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke rumahnya di Gua Musang, Kelantan.
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dari arah Hulu Terengganu menghala ke arah Gua Musang.
"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa melalui jalan yang ditutup akibat tanah runtuh dan kenderaan mangsa terbabas jatuh ke dalam gaung sedalam 200 kaki (60.96 meter)," ujarnya.
Tambah beliau, Suzaimah yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar daripada kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, kedua-dua mayat dibawa ke Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, kejadian berlaku di jalan Persekutuan manakala permukaan jalan tidak rata dan ditutup kepada semua kenderaan berikutan kawasan tanah runtuh dan berlaku pada waktu siang dalam keadaan cuaca baik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


