JARANG gosok gigi dan karies botol susu menjadi faktor 12 batang gigi seorang kanak-kanak lelaki terpaksa dicabut.
Ibunya yang dikenali sebagai Siti Nur Haiza berkata, masalah itu mula disedari beberapa bulan lalu apabila anaknya sering mengadu sakit kepala setiap kali bangun pagi.
Menurutnya, walaupun sudah dibawa ke klinik dan diberikan ubat keadaan anaknya itu masih sama.
"Doktor ada cadangkan ambil air tulang belakang sebab takut radang otak tapi saya tak setuju. Jadi selepas dirujuk pakar, kes itu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk CT scan.
"Sampai HSNZ, anak ditidurkan dan buat CT scan tapi result OK. Selepas tu dipantau di wad pediatrik beberapa hari dan diberikan antibiotik serta ubat demam," kongsinya di Facebook.
Kanak-kanak ini ditidurkan sebelum pembedahan membuang 12 batang gigi. -Gambar media sosial
Dalam tempoh pemantauan itu, doktor mengesan bunyi jantung yang tidak normal dan mendapati terdapat lubang kecil pada jantungnya.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut mengejutkan doktor yang mendapati kesemua giginya berada dalam keadaan sangat buruk dan dirujuk kepada pakar bedah mulut.
"Selepas pemeriksaan, pakar mengesahkan semua gigi perlu dicabut kerana kerosakan menyeluruh dan tidak boleh ditampal," katanya yang memaklumkan beberapa bulan kemudian anaknya dibedah.
Katanya, pembedahan berjalan lancar dan selepas semua gigi dicabut, anaknya itu kini kembali aktif seperti biasa.
"Anak saya karies botol susu, dia menyusu botol sampai empat tahun dengan tidur mesti kena ada botol susu. Tak gosok gigi, jarang gosok tu jadi hitam.
"Ya saya bukan ibu baik tak jaga betul-betul. Anak saya ada lagi penyakit lain seperti eczema, mata juling dan masalah lain tapi sekarang dia sihat, Alhamdulilah," katanya.


