suria

Permintaan sunting gambar arwah Nurin Jazlin undang sebak, bapa masih berharap pelaku dapat dikesan

Antara gambar arwah Nurin Jazlin yang disunting warga maya.

PERMINTAAN Jazimin Abdul Jalil, bapa kepada Allahyarham Nurin Jazlin yang meminta jasa baik netizen menyunting gambarnya bersama arwah meraih perhatian ramai pada Sabtu.

Jazimin membuat permintaan tersebut di grup Facebook, Edit Apa Hari Ini dengan menyertakan sekali beberapa keping gambarnya serta isteri dan gambar anak keduanya itu.

"Salam kenal semua ya, minta tolong edit jadikan satu gambar. Terima kasih. Satu lagi sesiapa cerdik pandai yang boleh jelaskan (gambar) nombor pendaftaran?" katanya.

Hantaran tersebut kemudiannya dihujani ribuan komen yang rata-rata masih ingat kejadian menimpa arwah Nurin yang menjadi mangsa culik dan pembunuhan kejam pada 2007.

Permintaan Jazimin juga ditunaikan warga maya yang membantu menyunting gambarnya dengan isteri bersama arwah seperti mana diminta.

Selain itu, ada juga warga maya yang bertanyakan perkembangan kes tersebut sama ada masih dalam siasatan atau sebaliknya.

"Kes tak ditutup... kalau dari segi siasatan memang tiada," kata Jazimin.

Malah, ada juga netizen berpandangan lakaran wajah suspek telah dibuat pihak berkuasa tetapi tetap tidak dijumpai justeru dia beranggapan pelaku mungkin sudah meninggal dunia.

"Tak perlu wajah, dapat nombor plat pun lagi bagus. Nombor plat jelas baru saya sendiri buat kerja," kata Jazimin lagi.

Kenyataan Jazimin itu merujuk kepada kenderaan digunakan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes anaknya itu seperti mana terdapat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV). 

Untuk rekod, kes Nurin menggemparkan negara apabila kanak-kanak lapan tahun itu dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju.

Mayat Nurin ditemukan pada 17 September 2007 di tangga sebuah lot kedai di Petaling Jaya, Selangor.

 

Artikel Lain