SEKOLAH Komunikasi Universiti Xiamen Malaysia (XMUM) rangkul dua anugerah utama pada pertandingan penyampaian idea 'RE:ACT', pertandingan pertama di Malaysia yang memfokuskan kepada konsep Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Acara yang berlangsung pada 3 Disember lalu di Auditorium Tan Hua Choon, XMUM itu dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Institut Perhubungan Raya-XMUM (IPRMSA-XMUM) dengan kerjasama Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM).
Ia dirasmikan oleh Presiden IPRM, Encik Jaffri Amin Osman, dan turut dihadiri Ahli Majlis IPRM serta penasihat IPRMSA dari pelbagai universiti seluruh negara.
Dekan Sekolah Komunikasi, Profesor Dr. Wang Changsong berkata, pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar menerjemahkan idea yang selaras dengan Tanggungjawab Sosial Korporat dan SDG menjadi projek yang mampu dilaksanakan.
Antara perserta, penganjur dan juri pertandingan penyampaian idea 'RE:ACT'.
“Pertandingan ini memberi kuasa kepada pelajar untuk mengubah konsep menjadi projek sebenar. Ia membuka ruang kepada idea inovatif yang menangani cabaran sosial dan kelestarian,” katanya.
Edisi sulung ini menghimpunkan penyertaan dari sembilan universiti, membabitkan 14 kumpulan dan menarik lebih 500 pelajar Komunikasi dan Perhubungan Awam dari seluruh negara.
Selain Universiti Xiamen Malaysia, institut pengajian tinggi lain yang terlibat ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Antarabangsa INTI (Nilai), Universiti SEGI, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Tunku Abdul Rahman (Kampar), Universiti Utara Malaysia dan Universiti Wollongong Malaysia.
Bagi kategori Idea Projek CSR dan Kelestarian, pemenang pertama dan kedua menjadi milik XMUM masing-masing dengan tajuk Program Pakaian Dilahirkan Semula: Membina Sistem Mikro-Sikular dan Kampung Saya, Perjalanan Saya.
Universiti Wollongong Malaysia (UoW) mendapat tempat ketiga dengan tajuk projek Kira-Kira.
Sementara untuk kategori Pembentangan Projek CSR dan Kelestarian Terbaik, tempat pertama dimenangi Universiti Wollongong Malaysia yang membawa projek bertajuk Zero Hunger: Meals of Hope.
Universiti Antarabangsa INTI Nilai memperoleh kedudukan kedua dengan projek bertajuk My Green My Future, manakala Universiti SEGI meraih tempat ketiga dengan projek SoSure Media 2025.
Juri yang terlibat ialah Dekan Sekolah Komunikasi XMUM, Profesor Dr. Wang Changsong; Ketua R&D, Bahagian Polisi & Penerbitan, Majlis Rekabentuk Malaysia, Encik Ismail Rosdi; Pengarah Pendidikan Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM), Profesor Madya Dr. Nurul Ain Mohd Hassan; dan Ahli Majlis IPRM, Encik Saza Azrain Mohmad Shani.
Dalam acara sama, IPRM turut mengumumkan tiga universiti baharu yang menyertai rangkaian IPRMSA, iaitu Universiti Sunway, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.
Selain pertandingan, penganjuran turut diserikan dengan bengkel CSR dan SDG yang dikendalikan sendiri oleh Encik Jaffri Amin Osman. Beliau berkongsi pengalaman profesional dan praktikal mengenai amalan komuniti mampan yang relevan dengan industri komunikasi masa kini.
Pihak penganjur turut bekerjasama dengan organisasi kebajikan Lovely Disabled Home untuk membuka gerai amal yang mempamerkan produk komuniti dan menggalakkan sumbangan langsung daripada pengunjung.
Acara tersebut bukan sahaja memupuk semangat tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar, tetapi turut memperkukuh hubungan antara akademia, komuniti dan industri.


