suria

Ramai tertanya-tanya boleh ke mohon bantuan zakat nak ringankan beban hutang? Ini perkara perlu anda tahu

Bebanan hutang boleh menjadi tekanan kepada kehidupan. -Gambar hiasan AI

DALAM situasi kos sara hidup yang semakin meningkat, pengurusan kewangan menjadi aspek penting bagi memastikan individu tidak terjerumus ke dalam beban hutang sukar dikawal.

Namun, terdapat situasi tertentu di luar jangka seperti masalah kesihatan atau komitmen asas mendesak, menyebabkan seseorang berdepan risiko kewangan serius hingga berpotensi jatuh ke kategori fakir dan miskin.

Dalam situasi ini, pasti ramai tertanya-tanya sama ada pusat zakat dapat membantu golongan yang berkenaan dalam meringankan beban hutang mereka. 

Perkara ini turut disentuh dalam satu podcast oleh Financial Faiz yang menampilkan Ketua Pegawai Operasi Lembaga Zakat Selangor, Ahmad Fadhil Hassan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki terpedaya janji manis ejen, menyesal beli apartmen di Bangi RM300,000... Selepas sembilan tahun nilai susut 20 peratus!

Fadhil menjelaskan bahawa pusat zakat berkemungkinan dapat membantu melangsaikan hutang individu, namun ia tertakluk kepada syarat tertentu. 

Jelas beliau, bantuan ini diberikan secara khusus bagi hutang melibatkan organisasi atau institusi rasmi, seperti bil perubatan yang tinggi sehingga berisiko menjejaskan kedudukan kewangan seseorang.

Menurutnya, kes berkaitan perubatan merupakan antara yang paling kerap dibantu kerana tanpa sokongan, individu berkenaan berpotensi jatuh ke dalam kitaran kemiskinan. 

Selain itu, terdapat juga pertimbangan bagi hutang berkaitan perumahan, namun ia memerlukan penilaian lebih ketat berdasarkan keperluan dan kelayakan semasa pemohon.

Bantuan hanya akan disalurkan sekiranya permohonan disertakan dengan dokumentasi lengkap serta bukti yang sah, bagi memastikan kes tersebut benar-benar tulen dan memerlukan. 

Sebaliknya, hutang peribadi seperti pinjaman daripada rakan atau ahli keluarga tidak termasuk dalam skop bantuan pusat zakat kerana memerlukan sokongan dari segi pengesahan dan rekod rasmi atau dokumentasi.

Bagaimanapun, jumlah bantuan atau nilai kewangan yang akan disalurkan tidak diperincikan oleh beliau dalam podcast tersebut.

Secara amnya, pendekatan ini menunjukkan zakat bukan sekadar bantuan sementara, tetapi juga berfungsi sebagai mekanisme sokongan kewangan bagi membantu individu keluar daripada tekanan hutang.

Usaha ini juga bertujuan untuk mengelakkan mereka daripada terus terjerumus ke dalam kategori fakir dan miskin.

 

Artikel Lain