RAMAI menganggap pembelian rumah sebagai satu bentuk pelaburan yang boleh memberi keuntungan dalam masa jangka panjang.Namun jika tersilap langkah, ia sebenarnya boleh menjerat pembeli sehingga menjadi beban kewangan yang memeningkan kepala. Menurut seorang individu, dia menyesali tindakannya membeli sebuah unit kediaman gara-gara terpedaya dengan janji manis ejen hartanah.Dia mendakwa membeli sebuah rumah di Bangi, Selangor pada tahun 2017 pada harga RM300,000, namun nilai semasanya kini merosot kepada sekitar RM240,000.Katanya, pelaburan yang dibuat juga tidak menjadi apabila unit tersebut gagal mendapat penyewa untuk jangka masa panjang, sekali gus menyukarkan usaha untuk menjual semula tanpa menanggung kerugian."Saya beli rumah dekat Bangi, Selangor pada tahun 2017. Harga masa tu RM300,000. Sekarang harga jatuh sampai RM240,000. Harga rumah boleh jatuh."Jangan buat kesilapan macam saya. Lagi best kalau sewa je dulu. Kumpul duit dan belilah unit lelong. Ejen rumah memang cakap harga sentiasa naik."Ejen cakap macam itu sebab memang kerjanya jual rumah. Saya buat sebagai pelaburan. Dah berbulan tiada orang masuk menyewa AirBNB."Nak jual pun rugi. Ejen tu boleh bantu ke? Dia pun dah lama lesap," ujarnya.Dalam hantaran dikongsikan, dia menunjukkan tiga unit rumah di sekitar Bangi yang ditawarkan pada harga sekitar RM240,000 hingga RM250,000.Tangkap layar tersebut dipercayai disenaraikan sekitar pertengahan Mac, melibatkan kediaman jenis apartmen servis (serviced apartment) dengan keluasan kira-kira 500 kaki persegi.Menurut individu berkenaan, perkongsian itu dibuat sebagai peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan membeli hartanah.Dia turut menegaskan bahawa tidak semua lokasi menjanjikan kenaikan harga, terutamanya bagi kawasan yang bukan dalam kategori kawasan berlokasi strategik (prime area)."Sata tak boleh setuju dengan kenyataan beli je mana-mana rumah nanti akan naik harga. Untuk prime area atau tempat harga ia masih murah mungkin okey."Tapi kalau bukan prime area, harga mahal kemudian ejen duduk menekan-nekan cakap bagus. Kemudian kena berhati-hati," jelasnya.