JIKA anda merancang untuk hidup bersendirian sehingga usia tua, ada tanda harga yang perlu diketahui terlebih dahulu iaitu sekitar RM1.2 juta. Jumlah ini juga dianggap minimum sekiranya ada bercadang untuk menetap di pusat jagaan warga emas bertaraf premium di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Ia bukanlah kategori mewah melampau, tetapi masih dalam segmen premium yang menawarkan kemudahan selesa dan perkhidmatan berkualiti.Persoalannya, adakah anda sudah mempunyai simpanan sebanyak itu ketika ini?Berikut merupakan anggaran kos pusat jagaan warga emas swasta di Kuala Lumpur dan Selangor bagi tahun 2026 sebagaimana dikongsikan perunding kewangan berlesen, Muhammad Faizul Fakar:1. Kediaman persaraan bertaraf mewah (Luxury atau Retirement Village)Kos antara RM8,500 hingga RM13,000 sebulan.Contoh termasuk Sunway Sanctuary, ReU Living dan Pacific Senior Living.Menawarkan konsep seperti hotel lima bintang dengan fasiliti lengkap seperti gimnasium, kolam renang serta aktiviti harian.2. Penjagaan kediaman berbantu bertaraf premium (Premium Assisted Living)Kos antara RM4,000 hingga RM7,500 sebulan.Contoh termasuk Jasper Lodge dan Haywood Senior Living di Bangsar serta Petaling Jaya.Menyediakan bilik persendirian, khidmat jururawat 24 jam dan lokasi strategik di tengah bandar.3. Kategori pertengahan (Mid-range)Kos antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.Tertumpu di kawasan seperti Shah Alam, Subang dan Petaling Jaya di Selangor.Kemudahan merangkumi bilik berkongsi, makanan disediakan serta penjagaan asas.Persediaan awal dan rapi penting untuk bersara di rumah kebajikan warga emas. -Gambar hiasan4. BajetKos antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan.Melibatkan pusat jagaan komuniti sekitar Lembah Klang.Hanya menyediakan kemudahan asas tanpa lebihan.Pilihan yang sesuai bergantung kepada gaya hidup yang diinginkan pada usia persaraan.Sebagai gambaran, jika seseorang memasuki pusat jagaan premium pada usia 65 tahun dan hidup sehingga 85 tahun dengan kos sekitar RM5,000 sebulan.Jumlah keseluruhan perbelanjaan adalah seperti berikut:RM5,000 × 12 bulan × 20 tahun = RM1,200,000Angka ini belum mengambil kira inflasi kos perubatan yang boleh meningkat sekitar 10 hingga 15 peratus setahun. Bagi individu bujang, keseluruhan kos ini perlu ditanggung sendiri tanpa sokongan pasangan.Berbeza dengan mereka yang berkeluarga, golongan solo perlu menyediakan sistem sokongan melalui perancangan kewangan yang rapi. Sekiranya simpanan tidak mencukupi, pilihan mungkin terhad kepada pusat jagaan kerajaan yang sering berdepan kekangan kapasiti dan kemudahan.Tiada siapa menilai pilihan hidup seseorang, namun aspek kewangan perlu disediakan seiring dengan keputusan tersebut.Simpanan bukan semata-mata untuk menghadapi risiko kesihatan, tetapi untuk memastikan adanya pilihan pada masa hadapan seperti tinggal di tempat yang selesa, mempunyai komuniti sebaya yang aktif serta menjalani kehidupan dengan penuh maruah.Ringkasnya, simpanan hari ini merupakan pelaburan untuk kebebasan pada masa hadapan sekiranya anda mempunyai rancangan untuk hari persaraan secara solo.Ramai menyedari kepentingan menyimpan, namun masih tidak pasti jumlah yang diperlukan, kaedah terbaik dan titik permulaan. Perancangan awal mampu memberikan kejelasan serta ketenangan dalam jangka panjang.