suria

Bayar ‘agent fees’ walaupun tak lantik wakil, individu akhirnya dapat kembali RM1,400 selepas buat aduan

Penyewa perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan ejen hartanah tidak bertanggungjawab. -Gambar hiasan AI

ISU bayaran ejen dalam urusan sewaan hartanah terus menjadi bualan ramai, terutama apabila melibatkan penyewa yang tidak melantik mana-mana pihak secara rasmi.

Terbaharu, seorang individu berkongsi pengalamannya yang sebelum ini dikenakan bayaran ejen sebanyak kira-kira RM1,400 pada tahun 2023 walaupun dia hanya bertindak sebagai penyewa.

Menurutnya, bayaran tersebut pada awalnya dilihat seperti satu kewajipan, sebelum dia mula mempersoalkan sama ada caj berkenaan benar-benar sah atau sebaliknya.

Susulan itu, dia mengambil keputusan untuk membuat aduan rasmi melalui emel kepada Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (BOVEA).

Tidak lama selepas aduan dihantar, pihak ejen dilaporkan menghubunginya semula dan meminta agar surat aduan tersebut ditarik balik.

Difahamkan, bayaran yang dikenakan sebelum ini merangkumi beberapa komponen termasuk:

1. Fi (yuran) profesional ejen sebanyak RM1,300

2. Cukai Perkhidmatan (SST) enam peratus berjumlah RM78

3. Caj dokumentasi seperti tenancy agreement, senarai inventori dan duti setem sebanyak RM100

Antara perkongsian penyewa dalam hantaran dibuat.

Namun begitu, keseluruhan jumlah tersebut akhirnya dipulangkan semula kepada individu berkenaan sekali gus menyelesaikan isu tersebut.

Dalam perkongsiannya, dia turut berkongsi butiran aduan yang dibuat secara rasmi dan tersusun, khususnya apabila melibatkan isu kewangan dan hak sebagai penyewa.

Selain itu, butiran asas seperti status sebagai penyewa, lokasi hartanah, butiran syarikat, jumlah bayaran serta tarikh kejadian perlu dinyatakan dengan tepat bagi memudahkan siasatan dijalankan.

Pendekatan komunikasi juga memainkan peranan penting apabila dia memilih untuk berurusan secara bertulis berbanding panggilan telefon, bagi memastikan setiap perbualan direkodkan sebagai rujukan.

Perkongsian tersebut sekali gus menjadi peringatan kepada orang ramai supaya lebih peka terhadap hak masing-masing dan tidak teragak-agak untuk mendapatkan penjelasan atau membuat aduan sekiranya merasakan terdapat unsur meragukan dalam sesuatu transaksi.

Artikel Lain