suria

Bayar prinsipal rumah atau labur? Ini jawapan pakar kewangan kalau ada lebihan RM1,000 setiap bulan

Pengurusan wang dengan baik penting bagi mengelakkan masalah pada masa akan datang. -Gambar hiasan AI

DALAM keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, setiap keputusan kewangan perlu dibuat dengan lebih teliti dan strategik.

Bagi mereka yang mempunyai pinjaman rumah, persoalan mengurus lebihan wang sering menjadi dilema sama ada mahu mempercepatkan bayaran hutang atau menggandakan simpanan melalui pelaburan.

Situasi ini turut dikongsikan seorang individu yang membandingkan kadar faedah pinjaman rumah dengan pulangan tahunan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang kebiasaannya lebih tinggi.

Dalam perkongsian itu, individu berkenaan mempersoalkan sama ada lebih baik menggunakan lebihan wang RM1000 bulanan untuk mengurangkan prinsipal pinjaman (jumlah hutang asal) atau membiarkannya berkembang melalui pelaburan sebelum membuat penyelesaian penuh pada masa hadapan.

Menjawab persoalan tersebut, penasihat kewangan, Mohamad Faiz Azmi atau Financial Faiz menjelaskan secara prinsipnya, keputusan kewangan perlu berpandukan perbandingan kadar pulangan dan kos pembiayaan.

Menurut Faiz, sekiranya kadar pulangan pelaburan seperti KWSP atau ASB berada pada paras sekitar lima hingga enam peratus setahun, manakala kadar pinjaman perumahan sekitar tiga hingga empat setengah peratus (3.5 - 4.5).

Maka secara teorinya, lebihan tunai wajar disalurkan ke instrumen yang memberikan pulangan lebih tinggi.

Pendekatan ini membolehkan simpanan berkembang sebelum digunakan untuk membuat penyelesaian penuh pinjaman apabila jumlah terkumpul telah melebihi baki prinsipal pembiayaan.

Namun begitu, strategi dengan melabur lebihan wang ini memerlukan disiplin kewangan yang tinggi serta pemahaman terhadap risiko.

Ini kerana pulangan pelaburan tidak dijamin dan boleh berubah mengikut keadaan pasaran, berbeza dengan kadar pinjaman yang lebih stabil dan boleh dijangka.

Artikel Lain