suria

Bukan masa tambah hutang, ‘self reward’ berlebihan... Usah terlalu selesa, pakar kongsi panduan survival krisis global

Langkah berjimat-cermat mampu meningkatkan survival individu dalam berdepan situasi luar jangka. -Gambar hiasan AI

ISU geopolitik global terus menjadi perhatian termasuk konflik di antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel yang memberi kesan langsung kepada ekonomi sejagat.

Situasi tersebut secara tidak langsung mendorong orang ramai membuat persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk krisis kewangan dan ketidakstabilan ekonomi.

Seiring dengan perkembangan terkini itu, pakar kewangan dan hartanah Dr Azizul Azli Ahmad berkongsi beberapa panduan penting dalam memastikan kedudukan kewangan kekal stabil sepanjang tempoh mencabar ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan buat kerja gila! Ramai pembeli rumah pertama ‘tersungkur’ saat akhir, ini 3 kesilapan punca ‘loan’ boleh ditarik balik

Menurut Azizul, langkah-langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan risiko malah mampu meningkatkan survival individu dalam berdepan situasi luar jangka.

Berikut adalah antara tip yang dikongsikan:

1. Berhenti guna paylater dan tambah hutang baharu

Elakkan daripada menambah komitmen kewangan semata-mata untuk menjaga imej atau gaya hidup.

Sebaliknya, fokus kepada penyelesaian hutang sedia ada agar beban kewangan tidak terus menghimpit dan menjejaskan ketenangan hidup.

2. Merendah diri dalam perancangan kewangan

Tidak perlu terburu-buru untuk mengembangkan perniagaan atau mengejar status tertentu.

Dalam situasi tidak menentu, adalah lebih baik mengekalkan kestabilan terhadap apa dimiliki berbanding mengambil risiko tidak perlu.

3. Elak berhenti kerja secara terburu-buru

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, pendapatan tetap merupakan satu kelebihan. Justeru, individu disaran mengetepikan ego dan memberi keutamaan kepada kestabilan aliran tunai.

4. Berjimat cermat 

Kurangkan perbelanjaan yang tidak penting dan kawal keinginan untuk berbelanja secara berlebihan.

Walaupun ganjaran diri (self reward) dibenarkan, ia perlu dilakukan secara sederhana tanpa menjejaskan kedudukan kewangan.

5. Jangan terpengaruh trend pelaburan berisiko

Elakkan terjebak dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat seperti skim cepat kaya, Ponzi atau MLM.

Sebaliknya, pilih instrumen pelaburan lebih selamat dan berisiko rendah.

6. Tukar sebahagian simpanan kepada aset fizikal

Dalam situasi nilai mata wang tidak stabil, disarankan menukar sebahagian simpanan kepada aset fizikal seperti emas atau barangan keperluan tahan lama sebagai langkah perlindungan nilai.

7. Tingkatkan kemahiran asas kehidupan (survival skills)

Pelajari kemahiran praktikal seperti bercucuk tanam, membaiki peralatan atau asas pertolongan cemas.

Kemahiran ini dilihat lebih bernilai dalam situasi kecemasan berbanding kelayakan semata-mata.

8. Bina jaringan komuniti yang kukuh

Jangan mengasingkan diri daripada masyarakat sekeliling. Sebaliknya, bina hubungan baik dengan jiran dan komuniti kerana sokongan sosial amat penting ketika berdepan kesukaran.

9. Jaga kesihatan dan kawal pemakanan

Kos rawatan kesihatan semakin meningkat menuntut individu untuk lebih menjaga kesihatan diri.

Amalan pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif merupakan 'pelaburan' jangka panjang yang mampu mengurangkan beban kewangan pada masa hadapan.

10. Tingkatkan literasi geopolitik

Tingkatkan pembacaan dan ambil tahu perkembangan semasa dunia kerana faktor global seperti harga minyak dan konflik antarabangsa boleh memberi kesan langsung kepada kos sara hidup harian.

Artikel Lain