suria

Cuak terima emel audit LHDN? Jangan panik, ini 3 cara ‘selamat’ kalau resit tak cukup atau hilang!

Menyimpan resit pembelian penting untuk mengelakkan didenda oleh pihak LHDN. -Gambar hiasan AI

DALAM kalangan pembayar cukai, menerima emel audit daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh menjadi mimpi ngeri.

Mana tidaknya, ada yang mula panik mencari semula resit pembelian bagi taksiran terdahulu disebabkan risau dokumen yang diminta tidak lengkap.

Perkara itu turut dikongsikan seorang pengguna media sosial yang meluahkan kebimbangan apabila diminta mengemukakan semua resit bagi taksiran tahun 2024.

"Takutnya! Tiba-tiba LHDN emel minta semua resit. Mana nak 'godek' (resit) yang lama tu? Kalau ada tapi tak cukup, macam mana?

"Aku ingat kerja biasa ni dapat la lepas, rupanya tidak," ujar wanita itu dalam hantarannya.

Namun menurut perkongsian akaun My Cukai Max yang sering berkongsi informasi berkaitan percukaian, situasi ini sebenarnya tidak perlu mendatangkan rasa takut.

Sebaliknya, akaun tersebut berkongsi beberapa perkara penting yang perlu diketahui jika berdepan audit LHDN.

1. Masih ada alternatif lain jika resit hilang

Jika resit tidak dijumpai, anda masih boleh menggunakan kenyataan bank atau rekod pembelian dalam talian sebagai bukti sokongan.

2. Dokumen atau resit tidak lengkap

Sekiranya resit tidak mencukupi, hantar sahaja apa yang ada. 

Pihak LHDN hanya akan melaraskan (add back) bahagian yang tiada bukti, bukannya menolak keseluruhan tuntutan.

3. Ada pelepasan tidak perlukan resit

Beberapa pelepasan automatik seperti individu (RM9,000), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Social Security Organisation (SOCSO) tidak memerlukan resit untuk pengesahan.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan mendapatkan panduan terus daripada pihak LHDN jika kurang pasti.

Sebagai langkah ke hadapan, orang ramai disarankan untuk simpan resit dalam bentuk digital bagi memudahkan rujukan pada masa akan datang.

Tidak dapat mengemukakan resit, terutamanya kepada LHDN, boleh mengakibatkan tuntutan pelepasan cukai ditolak, peningkatan cukai yang perlu dibayar, serta risiko denda atau penalti terutamanya jika audit dilakukan.

Artikel Lain