SISTEM penggenapan harga kembali menjadi bualan hangat apabila seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kurang senang selepas terpaksa membayar lebih satu sen bagi pembelian barangan dapur di sebuah kedai serbaneka.Menurut perkongsiannya, jumlah asal pembelian barang dapur bagi satu pek mi segera serta tiga paket minyak masak adalah RM12.99 namun dia perlu membayar RM13 gara-gara sistem penggenapan. Pengguna berkenaan turut mempersoalkan keperluan sistem itu dengan menyatakan bahawa kaedah bayaran secara tanpa tunai (cashless) perlu dikecualikan daripada sistem penggenapan. "Dalam era cashless sekarang ni, masih relevan ke buat rounding (penggenapan)? Bukannya ada isu susah nak bagi baki semula pun. Tap kad bank terus bayar ikut jumlah asal, tak boleh ke?"Selalu kena rounding sekitar satu hingga tiga sen. Tu kalau seorang, tak mungkin orang lain tak kena? Mesti kena juga. Berapa juta (peniaga) boleh dapat dengan sistem macam ni. Maaf sekadar nak tahu," ujarnya.Situasi tersebut mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna lain yang turut merasakan hal yang sama ketika membeli di premis lain."Sepatutnya sistem rounding diguna pakai untuk pembayaran secara tunai sahaja. Bayaran menggunakan kad kredit atau imbas kod QR tak perlu," kata netizen.Tangkap layar hantaran asal dikongsikan seorang pengguna berkenaan di media sosial.Perkongsian itu sekali gus membuka perbincangan lebih luas mengenai sama ada mekanisme penggenapan masih relevan ketika kebanyakan transaksi kini dilakukan secara digital.Untuk rekod, Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini memperkenalkan mekanisme penggenapan kepada lima sen terdekat bagi pembayaran di kaunter yang dilaksanakan sepenuhnya sejak 1 April 2008.Menerusi penjelasan BNM, penggenapan hanya dibuat pada jumlah keseluruhan bil dan bukan bagi setiap item. Jumlah yang berakhir dengan 1, 2, 6 dan 7 sen akan dibundarkan ke bawah, manakala jumlah berakhir dengan 3, 4, 8 dan 9 sen pula akan dibundarkan ke atas kepada gandaan lima sen terdekat.Pelaksanaan mekanisme itu bertujuan memudahkan urus niaga tunai selain mengurangkan keperluan penggunaan syiling satu sen, walaupun syiling tersebut masih boleh digunakan sebagai wang sah.Pada September tahun lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata kerajaan ketika ini belum bercadang untuk mengkaji semula pelaksanaan mekanisme tersebut.Menurut Amir, sistem sedia ada masih berfungsi dengan baik dan tidak mengganggu ekosistem perniagaan dalam negara, meskipun terdapat pandangan agar ia dinilai semula susulan peralihan kepada pembayaran secara dalam talian.Secara keseluruhannya, mekanisme penggenapan diperkenalkan bagi tujuan memudahkan transaksi tunai, namun persoalan mengenai kesesuaiannya dalam era digital menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna.