TAK tahu cukai jalan tamat tempoh menjadi alasan pemandu Toyota Vellfire milik pemain bola sepak kebangsaan ketika kenderaan itu disita dalam Ops Khas Kenderaan Mewah (Op Luxury) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Alor Setar pada Khamis.Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, berkata tindakan itu diambil selepas pihak penguat kuasa mengesan kenderaan berkenaan melakukan kesalahan di bawah peraturan jalan raya dan kini sedang dalam siasatan lanjut. Menurut beliau, kenderaan tersebut dipandu abang ipar kepada pemain bola sepak berkenaan yang ditahan di hadapan Penjara Alor Setar pada pukul 11.30 pagi.“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu dikesan memandu dengan cukai jalan yang tamat tempoh sejak 18 November tahun lalu serta tiada perlindungan insurans.“Pemandu memberi alasan tidak mengetahui cukai kenderaan itu sudah tamat tempoh,” katanya.Beliau berkata, operasi khas tersebut dilaksanakan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang tanpa mengira status atau latar belakang.JPJ Kedah dalam masa sama menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa dipatuhi.