PENGGUNA bank di Malaysia bakal menikmati kemudahan mengeluarkan wang tunai secara percuma di mana-mana mesin pengeluaran automatik (ATM) atau Smart Recycler Machine (SRM) bermula 1 Julai 2026.Menerusi inisiatif baharu itu, pemegang kad debit boleh membuat pengeluaran wang tunai tanpa dikenakan caj RM1 walaupun menggunakan ATM atau SRM milik perbankan lain. Langkah tersebut membolehkan pelanggan mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara dengan pengeluaran tunai antara bank secara percuma tanpa had.Pengumuman itu dibuat secara bersama oleh Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan sektor perbankan dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang lebih mudah akses, inklusif dan mampu milik kepada pelanggan."Wang tunai masih menjadi kaedah pembayaran penting bagi ramai rakyat Malaysia dalam urusan harian mereka."Oleh itu, pemansuhan caj pengeluaran antara bank dilihat dapat membantu mengurangkan beban kewangan pengguna," ujar kenyataan itu.Pada masa sama, industri perbankan turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal dan mesra pelanggan terus dipertingkatkan bagi semua lapisan masyarakat."Walaupun penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai semakin berkembang di negara ini, bank-bank akan terus memperkukuhkan penyelesaian pembayaran digital yang selamat, lancar dan mudah digunakan."Ia sekali gus memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan masing-masing," jelas kenyataan itu.