PAS secara terbuka mempersoalkan dakwaan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar direhatkan daripada peranannya sebagai pengulas sukan bagi siaran Piala Dunia 2026 di Radio Televisyen Malaysia (RTM).Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan mahu mendapatkan kepastian sama ada tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan keputusan Azlan menyertai parti tersebut baru-baru ini. "PAS berharap semua pihak berkaitan termasuk kerajaan Malaysia dan agensi di bawahnya menghormati serta tidak merampas hak asasi warganegara termasuk hak berpersatuan dan berpolitik seperti dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan."Sekiranya penafian hak (sebagai pengulas) itu benar-benar berlaku, ia amat merugikan negara dan mengecewakan rakyat jelata, khususnya peminat sukan tanah air," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Menurut Takiyuddin, Azlan adalah figura sukan bola sepak yang berpengalaman luas serta pernah menjadi pengulas dan penganalisis sukan lebih daripada 10 perlawanan Piala Dunia sepanjang karier penyiarannya.Bekas penyerang prolifik untuk pasukan negeri dan kebangsaan sekitar 1980-an itu turut memegang lesen kejurulatihan bola sepak tahap tinggi dan kini menyandang jawatan sebagai Pengerusi Yayasan Lagenda."Sebagai sebuah parti politik yang progresif dan demokratik, PAS menggesa pihak kerajaan untuk memastikan tindakan diskriminasi seperti itu tidak terus berlaku."Kerajaan dituntut untuk menyelaraskan tindakan mereka dengan slogan yang sebelum ini dilaungkan iaitu reformasi hak asasi rakyat dan institusi-institusi dalam negara," katanya.Terdahulu, Azlan diumumkan menyertai PAS secara rasmi oleh Takiyuddin pada Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Seremban pada 13 Jun lalu.Selain Azlan, turut diumumkan menyertai PAS adalah 13 tokoh termasuk bekas menteri dan bekas Ahli Majlis Kerajaan Negeri.