PERCUTIAN yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragedi apabila seorang jurutera perisian wanita ditemukan meninggal dunia di sebuah inap desa di Mussoorie, India pada pagi Isnin.Ketua Polis Mussoorie, Devendra Singh Chauhan berkata, sebelum kejadian, mangsa, P Radha Gayatri, 27, yang bekerja dengan sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) di Gurugram, dipercayai sedang bercuti bersama suaminya, Soumya Sricharan, yang bekerja di Pune. "Pasangan itu memulakan perjalanan dari Delhi ke Rishikesh pada 13 Jun sebelum tiba di sebuah inap desa di kawasan Kiana Tipridhar, Mussoorie kira-kira pukul 11.30 malam, keesokannya."Mereka dipercayai minum minuman keras di bilik penginapan sebelum tidur sekitar pukul 3.30 pagi," jelasnya.Menurut Devendra, polis kemudiannya menerima laporan mengenai seorang wanita yang berada dalam keadaan kritikal di inap desa berkenaan pada pagi Isnin sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pasukan perubatan mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia."Suami mangsa mendakwa isterinya tidak memberi sebarang respons apabila dia terjaga daripada tidur pada waktu pagi. "Dia turut mendapati darah keluar dari mulut mangsa sebelum segera mendapatkan bantuan," tambahnya.Mengulas lanjut, ujarnya, pasukan forensik telah menjalankan siasatan di lokasi dan mengumpulkan bahan bukti.Tambahnya, punca sebenar kematian akan diketahui selepas mendapat laporan bedah siasat serta analisis forensik. -Agensi