INDIVIDU yang didakwa bertindak agresif menumbuk serta menampar seorang lelaki gara-gara mangsa terbatuk ketika beratur membeli sarapan di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh, Selangor, akhirnya tampil menyerah diri kepada pihak polis.Perkembangan terbaharu itu dikongsikan sendiri oleh mangsa, Ahmad Zhafri Samsudin menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin malam, susulan insiden tular yang mencetuskan kemarahan netizen sejak 12 Jun lalu. Menurut Zhafri, lelaki warga emas berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi memberikan keterangan selepas usaha mengesannya dijalankan secara agresif oleh pihak berkuasa."Alhamdulillah, selepas hampir tiga hari, hasil usaha berterusan pihak polis, khususnya Unit Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh, individu terlibat tampil menyerah diri dan hadir ke balai untuk memberikan keterangan."Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada pegawai penyiasat serta semua anggota yang terlibat dalam usaha mengesan individu itu," katanya menghela nafas lega.Dalam pada itu, Zhafri yang bertugas sebagai seorang Teknologis Profesional dalam sektor korporat berkata, dia memilih jalan damai dengan memaafkan individu terbabit.Tangkap layar video tular ketika kejadian 12 Jun lalu."Dengan hati yang terbuka dan penuh keinsafan, saya memilih untuk memaafkan dia. "Jika Rasulullah SAW mampu memaafkan umatnya, siapalah saya yang penuh dengan kekurangan ini untuk tidak memberi ruang kepada seseorang memperbaiki kesilapan."Saya tidak memilih kekerasan. Saya memilih undang-undang," katanya penuh matang.Dalam pada itu dia turut menitipkan harapan agar kejadian hitam itu mampu menjadi pengajaran berguna kepada individu berkenaan agar tidak lagi bertindak meluru pada masa hadapan."Saya tak sekejam mana… insan biasa dan pendosa. Mari kita semua doakan pakcik ni dilembutkan hati dan harap dia tidak ulang perbuatan dia di mana saja dia berada."Semoga panjang umur. Saya pilih memaafkan daripada membenci. Saya sayang semua,” katanya lagi.Menerusi hantaran sama, Zhafri turut menjelaskan maksud kata-kata yang diungkapkannya beberapa kali ketika perbalahan antara mereka berlaku."Ketika kejadian berlaku, saya ada berkata… pakcik tak kenal saya siapa, tak tahu apa yang saya boleh buat dan siapa yang berada di belakang saya.“Saya ingin menjelaskan maksud kata-kata itu. Inilah yang (dimaksudkan) berada di belakang saya... kedaulatan undang-undang," katanya.Pada 13 Jun, Zhafri menerusi satu hantaran mendakwa menjadi mangsa serangan oleh lelaki berkopiah hitam ketika sedang beratur membeli sarapan di sebuah premis nasi lemak.Dia turut mendakwa ditolak individu terbabit, malah lelaki itu dikatakan mengambil garfu di kaunter dengan tujuan untuk mencederakannya.