suria

Pendekatan Holistik: Rasa ingin tahu dan karakter jadi teras utama kurikulum baharu

(Dari kiri) Nooraini, Mohd Azam dan Timbalan Pengarah Kanan Kluster Sains & Teknologi, Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, Sarina Salim memegang risalah KP2027.

KURIKULUM Persekolahan 2027 (KP2027) dijangka merevolusikan pendidikan negara dengan meletakkan empati, sahsiah dan kesedaran budaya sebagai tunjang utama pembelajaran.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Nooraini Kamaruddin, transformasi itu dilakukan dengan menyelaraskan pendidikan kepada naluri serta sifat ingin tahu semula jadi kanak-kanak, bukan memaksa mereka mengikuti struktur yang kaku.

“Kanak-kanak belajar dengan lebih baik apabila pendidikan bergerak mengikut minat dan tahap perkembangan mereka, membolehkan mereka meneroka, bertanya dan memahami dunia di sekeliling,” katanya pada sesi libat urus media mengenai KP2027 dan Kurikulum Prasekolah 2026 pada 26 November lalu.

Beliau berkata, perubahan kurikulum itu menyaksikan peralihan daripada kurikulum berasaskan standard kepada model berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi. 

Pendekatan itu mengukuhkan kemahiran asas tetapi tetap memberi ruang kepada murid untuk meneroka dan berkembang mengikut kemampuan masing-masing.

Tambahnya lagi, beberapa negara seperti Singapura, United Kingdom, Finland dan Jepun sudah melakukan anjakan sama bagi menumpukan bukan sahaja kepada penguasaan ilmu, tetapi pembangunan nilai kemanusiaan, kreativiti dan keupayaan menyesuaikan diri.

“Dengan memberi tumpuan kepada kompetensi dan bukannya hafalan, KP2027 menekankan pembelajaran holistik yang menggabungkan pengetahuan, kemahiran dan sikap, sekali gus mempersiapkan murid bukan hanya untuk peperiksaan, tetapi untuk kehidupan,” katanya sambil menegaskan bahawa tiada murid sama ada di bandar, luar bandar, aliran arus perdana atau keperluan khas akan tercicir.

Noraini menjelaskan tentang modul baharu yang terangkum dalam KP2027.

Pelaksanaan KP2027 akan dibuat secara berfasa bermula dengan murid prasekolah pada 2026, diikuti murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.

Beliau turut menarik perhatian bahawa penanda aras antarabangsa seperti Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) menunjukkan Malaysia ketinggalan berbanding negara lain. 

Perkara ini akan ditangani melalui penjajaran kurikulum baharu dengan falsafah pendidikan kebangsaan, keperluan masyarakat dan kompetensi utama, tanpa mengabaikan sifat ingin tahu semula jadi murid.

Mengukuhkan perkara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata reka bentuk kurikulum baharu berasaskan kajian perkembangan kanak-kanak dan amalan terbaik global akan disesuaikan dengan konteks Malaysia.

“Dengan menyelaraskan kandungan pendidikan kepada kecenderungan pembelajaran semula jadi kanak-kanak, kita memastikan pembelajaran menjadi lebih bermakna, menyeronokkan dan berkekalan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa KP2027 bersifat masa depan, bertujuan melahirkan murid yang mampu berkembang dalam dunia yang berubah pantas.

Menurut Nooraini, KP2027 berteraskan tujuh kompetensi utama (rujuk infografik) yang membentuk murid bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi sebagai insan yang lengkap. 

Setiap kompetensi direka bagi memupuk kekuatan semula jadi murid sebagai persediaan menghadapi kerumitan kehidupan.

KP2027 menekankan sahsiah murid.

KP2027 menekankan sahsiah murid.

Di peringkat prasekolah (rujuk infografik), kurikulum akan memberi tumpuan kepada naluri semula jadi kanak-kanak dalam komunikasi, sosialisasi dan pembentukan sahsiah. 

Katanya, daripada memaksa kanak-kanak membaca dan menulis terlalu awal, fasa prasekolah seharusnya menjadi ruang untuk membina kemahiran sosial, kesedaran emosi dan rasa ingin tahu.

“Prasekolah adalah peringkat di mana kita perlu membangunkan kemahiran psikomotor, sebab itu aktiviti berasaskan pengalaman dan permainan aktif sangat penting,” tambahnya. 

Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini bukanlah merendahkan standard pendidikan, tetapi membenarkan kanak-kanak belajar mengikut fitrah mereka.

Mengulas kebimbangan lama mengenai beg sekolah berat dan lambakan mata pelajaran, katanya KP2027 memperkenalkan permulaan yang lebih ringan dan fokus untuk murid muda.

“Kita akan mengurangkan bilangan mata pelajaran dan memperkenalkan beberapa topik menerusi mata pelajaran bersepadu bertema seperti ‘Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu’ di Tahap I (Tahun Satu dan Dua).

Modul digarap berasaskan tahap pendidikan murid.

Modul digarap berasaskan tahap pendidikan murid.

“Sebagai contoh, melalui mata pelajaran ini, murid belajar mengenai diri dan persekitaran mereka seterusnya menyelami kesedaran tubuh, kepelbagaian budaya, hormat perbezaan, sentuhan selamat dan aspek kesihatan asas sambil membina literasi serta numerasi awal,” jelasnya.

Apabila memasuki Tahap II (Tahun Tiga dan Empat), subjek ‘Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu’ akan dipecahkan kepada dua bidang iaitu ‘Eksplorasi Sains dan Teknologi: Pembelajaran Bersepadu’ dan ‘Eksplorasi Seni dan Dunia: Pembelajaran Bersepadu’ yang memberi tumpuan khusus kepada aplikasi pengetahuan dalam konteks praktikal.

“Mereka akan mula mengaplikasi kemahiran asas, mengendalikan projek bersepadu dan mengalami pembelajaran merentas disiplin persis kehidupan sebenar,” katanya.

Menurutnya lagi, pada tahun-tahun akhir sekolah rendah dan seterusnya sekolah menengah, murid sudah bersedia meneroka pengetahuan lebih mendalam serta minat khusus. 

“Mereka digalakkan berinovasi sama ada dalam sains, seni atau teknologi, dan meneruskan minat serta bakat masing-masing,” katanya.

Mempersiapkan Guru

Nooraini turut menekankan keperluan melatih guru bagi memenuhi tuntutan bilik darjah yang semakin berkembang.

“Persiapan guru disokong secara aktif melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa program latihan guru telah diselaraskan supaya kursus yang ditawarkan mengambil kira penyesuaian kurikulum baharu, termasuk pengurusan, bahan pengajaran dan penggunaan alat pembelajaran baharu.

Sesi pembelajaran akan dilakukan secara co-teaching. -Gambar hiasan

Sesi pembelajaran akan dilakukan secara pengajaran berpasukan (co-teaching). -Gambar hiasan

“Inisiatif ini tidak bertujuan membebankan guru, malah usaha telah dibuat untuk mengurangkan beban kerja tertentu sambil memperkenalkan aplikasi mudah alih dan bahan baharu,” jelasnya.

Mohd Azam menambah bahawa kurikulum ini bukan sekadar kemas kini berkala, tetapi respons terhadap perubahan besar dunia termasuk teknologi, perubahan iklim, budaya digital dan gaya hidup generasi masa depan.

Katanya, tumpuan utama kurikulum baharu adalah memastikan murid melalui proses pembangunan menyeluruh merangkumi aspek fizikal, emosi, spiritual dan intelektual selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan dan prinsip Rukun Negara.

“Kita mahu anak-anak kita bukan sahaja celik huruf atau angka, tetapi memiliki perasaan, empati, tahu yang mana betul atau salah serta mempunyai rasa kasih dan peduli. Itu tanggungjawab kita,” katanya.

Transformasi kandungan pembelajaran murid

Di bawah Kurikulum Persekolahan 2027, Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan enam mata pelajaran baharu bagi mengukuhkan kemahiran asas serta pembentukan sahsiah pada peringkat awal persekolahan.

Antara yang diperkenalkan ialah Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu di Tahap I; Eksplorasi Sains dan Teknologi: Pembelajaran Bersepadu di Tahap II; Eksplorasi Seni dan Dunia: Pembelajaran Bersepadu di Tahap II; Teknologi dan Digital (TnD); Bahasa Isyarat Malaysia (BIM); dan Bahasa Arab Komunikasi.

Menurut Nooraini, mata pelajaran ini dirangka untuk memupuk sifat inklusif, pembelajaran berasaskan pengalaman dan aplikasi praktikal, sebagai persediaan kepada perkembangan kognitif, emosi dan sosial murid.

Sejak 2021, katanya, pasukan kurikulum telah menjalankan kajian menyeluruh serta mengumpulkan maklum balas daripada lebih 61,000 responden, termasuk pakar, pendidik, ibu bapa dan pihak berkepentingan melalui sesi libat urus.

Sahsiah merupakan fokus utama dalam pembelajaran murid.

Sahsiah merupakan fokus utama dalam pembelajaran murid.

“Kanak-kanak hari ini membesar dalam persekitaran yang berubah sangat pantas, menjadikan gaya pembelajaran, minat dan keupayaan mereka berbeza.

“Inilah sebabnya kita akan menggugurkan beberapa mata pelajaran tertentu dan memperkenalkan yang baharu dengan menggabungkan elemen mata pelajaran yang digugurkan,” katanya.

Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu, jelasnya, menggabungkan elemen sains, pendidikan seni, pendidikan muzik, pendidikan kesihatan, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta digital dalam satu mata pelajaran.

“Mata pelajaran ini akan menggantikan Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik dalam kurikulum sedia ada, dan ia turut dilaksanakan melalui kaedah pengajaran berpasukan (co-teaching).

“Pengajaran berpasukan menyokong elemen pelbagai disiplin dalam mata pelajaran ini, di mana guru saling melengkapi dan memenuhi keperluan pembelajaran murid,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bermula Tahap III (Tahun Lima dan Enam) hingga Tingkatan Satu hingga Lima, murid akan diperkenalkan kepada TnD, iaitu subjek berasaskan projek bagi menggalakkan eksplorasi pengalaman serta penggunaan aplikasi digital secara praktikal.

“Pembelajaran akan berfokus kepada inkuiri, penerokaan dan penyelesaian masalah secara kolaboratif. Apabila murid dibenarkan bertanya, bereksperimen dan terlibat secara aktif, mereka membina pemikiran kritis, daya tahan dan empati.

“Ini selaras dengan matlamat kita untuk memupuk bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi kematangan sebagai manusia. 

Pendidikan di Tahap 1 memberi penekanan pada penguasaan literasi dan numerasi serta pembentukan sahsiah.

Pendidikan di Tahap 1 memberi penekanan pada penguasaan literasi dan numerasi serta pembentukan karakter.

“Oleh itu, kurikulum memperkenalkan pengajaran berpasukan, pembelajaran berasaskan projek dan aktiviti hands-on,” katanya, sambil menambah bahawa guru berperanan sebagai fasilitator yang membimbing murid meneroka, mereka bentuk dan membangunkan projek sebenar.

Beliau turut memaklumkan bahawa BIM akan ditawarkan sebagai mata pelajaran tambahan di sekolah arus perdana dan akan diperkenalkan secara beransur-ansur bermula Tahun Satu di sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) murid bermasalah pendengaran.

“Sementara itu, Bahasa Arab Komunikasi akan diperkenalkan sebagai mata pelajaran bahasa tambahan baharu di peringkat menengah (bermula Tingkatan Satu) di sekolah harian dan sekolah berasrama penuh, kecuali sekolah berasrama penuh agama,” jelasnya.

Rangka Kerja Pentaksiran Baharu

Dalam perkembangan berkaitan, Nooraini berkata dengan KP2027 yang bergerak menjauhi budaya pendidikan berorientasikan peperiksaan, pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) akan diberi penekanan lebih besar.

Bagi memudahkan pentaksiran murid, beliau menjelaskan bahawa rangka kerja baharu ini akan bersifat berterusan, formatif dan autentik.

Beliau turut memaklumkan bahawa akan ada semakan kemajuan bagi menilai sama ada murid telah mencapai tahap literasi dan numerasi yang disasarkan, serta penguasaan kemahiran menganalisis dan menghasilkan inovasi.

“Jika murid belum mencapai hasil pembelajaran yang ditetapkan, intervensi akan diberikan untuk membantu mereka mengejar semula, bagi memastikan objektif kurikulum benar-benar dicapai,” katanya.

Kompetensi KP2027

1. Pembelajaran Sepanjang Hayat

Belajar untuk belajar

Budaya membaca

2. Kemahiran berfikir

Kritikal

Kreatif dan inovatif

3. Literasi Pelbagai

Literasi multimodal

Literasi digital

Literasi media

Literasi budaya

Literasi kritikal

Literasi maklumat

Intertekstualiti

Literasi visual

Kesedaran retorik

4. Fasih digital

Pengurusan data, maklumat dan teknologi

Pemikiran komputasi dan penyelesaian masalah

Penciptaan kandungan digital

Komunikasi dan kolaborasi digital

Kewarganegaraan digital dan keselamatan siber

5. Perkembangan diri

Pembangunan rohani

Pembangunan fizikal

Kesedaran diri

Pengurusan diri

Kesedaran sosial

Pengurusan sosial

6. Komunikasi

Interpersonal

Intrapersonal

Interbudaya interaksi

Interaksi global

7. Tanggungjawab

Kewarganegaraan (tempatan dan global)

Keusahawanan

Kelestarian alam sekitar

Kerjaya

Khidmat komuniti

Kemanusiaan

Keterangkuman

Fokus utama KP2027

PRASEKOLAH

Kemahiran komunikasi, bersosial dan pembentukan karakter

TAHAP I

(Tahun Satu dan Dua)

Penguasaan literasi dan numerasi serta pembentukan karakter

TAHAP II

(Tahun Tiga dan Empat)

Mengaplikasikan kemahiran, pengetahuan dan nilai, serta pembentukan karakter

TAHAP III

(Tahun Lima dan Enam)

Berkemahiran dalam menganalisis, berinovasi dan pembentukan karakter

MENENGAH RENDAH

(Tingkatan Satu, Dua dan Tiga)

Meneroka pelbagai bidang ilmu dan digalakkan untuk mengenali minat dan potensi diri, serta pembentukan karakter

MENENGAH ATAS

(Tingkatan Empat dan Lima)

Meneruskan bidang yang selari dengan hala tuju pendidikan tinggi yang diingini sambil memperkukuh pembentukan karakter

Artikel Lain