suria

IWK beroperasi 24 jam sehari demi kelestarian alam sekitar dan kesihatan umum

Sistem pembentungan IWK beroperasi 24 jam sehari.

RAMAI mungkin yang tidak menyedari kepentingan membayar caj pembetungan kepada Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd setiap bulan. 

Walau sukar dilihat dalam kehidupan seharian, namun bayaran ini memainkan peranan besar dalam memastikan kesihatan awam terjaga, alam sekitar dilindungi dan komuniti kekal bersih serta selamat.

Bayangkan, jika IWK gagal beroperasi dengan cekap, loji rawatan kumbahan mungkin tidak mampu berfungsi dengan baik sehingga boleh menyebabkan sungai tercemar dan risiko masalah kesihatan mungkin akan meningkat. 

Justeru, sokongan dan kerjasama pelanggan dalam menjelaskan bil pembentungan bukan sahaja dapat menampung kos operasi, tetapi turut menjamin kelestarian sumber air dan alam sekitar demi kesejahteraan dan masa depan generasi akan datang.

Tambahan pula Loji Rawatan Kumbahan (LRK) awam yang dikelola IWK beroperasi selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu, kerana proses rawatan air kumbahan adalah tugas yang berterusan. 

Caj perkhidmatan yang dikenakan adalah bagi memastikan semua peralatan berfungsi secara optimal melalui sistem pemantauan canggih seterusnya mengurangkan sebarang gangguan operasi. 

Ia juga bagi menampung kos perkhidmatan ribuan pekerja yang bertugas untuk mengurus dan menyelenggara keseluruhan sistem dengan cekap.

Jika ada yang tertanya-tanya mengapa perlu membayar caj berkaitan pengurusan air sisa kumbahan, cuba fahami dulu jenis-jenis sistem pembentungan yang terdapat di Malaysia.

Perkhidmatan ditawarkan tanpa mengira waktu.

Perkhidmatan ditawarkan tanpa mengira waktu.

1.Sistem Pembentungan Bersambung

Sistem ini merujuk kepada premis yang disambungkan ke rangkaian paip pembentungan awam bawah tanah. 

Air kumbahan dari premis ini disalurkan melalui paip pembetungan bawah tanah ke loji rawatan kumbahan awam yang dikendalikan IWK.

Premis yang menggunakan sistem ini akan menerima bil pembetungan setiap enam bulan, merangkumi kos kutipan, rawatan dan penyelenggaraan infrastruktur.

Caj yang dikenakan adalah mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006: Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan) 2022 dan (Pindaan) 2025. 

Bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan pembentungan adalah untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan infrastruktur pembentungan moden negara. 

Ini merangkumi pengoperasian dan penyelenggaraan 9,260 loji rawatan kumbahan serta stesen pam dan lebih daripada 22,000 kilometer rangkaian paip pembentungan bawah tanah untuk kegunaan kira-kira 33 juta penduduk setara (cPE).

2.Tangki Septik (Individu atau Komunal)

Bagi kategori ini, kebanyakan premis bergantung kepada tangki septik individu atau komunal untuk menyimpan air sisa kumbahan secara sementara. 

Tangki ini perlu disedut secara berkala (sebaiknya setiap dua tahun) bagi mengelak limpahan dan pencemaran alam sekitar. 

Untuk premis jenis ini, IWK menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik

melalui permohonan daripada pelanggan. 

Oleh itu, tiada bil berkala kerana bayaran dikenakan bagi setiap perkhidmatan pengosongan tangki septik yang dibuat.

Pengurusan air sisa kumbahan penting kepada kesihatan awam.

Pengurusan air sisa kumbahan penting kepada kesihatan awam.

Mengapa Caj IWK perlu diselaraskan?

IWK mengekalkan struktur tarif yang sama selama hampir 30 tahun sejak penubuhannya pada 1994 meskipun terdapat peningkatan ketara dalam permintaan terhadap perkhidmatan pembentungan, apatah lagi dengan kos inflasi.

Tambahan pula syarikat pembetungan nasional ini telah mengambil alih lebih banyak loji rawatan awam serta berdepan dengan kenaikan pelbagai kos di samping perlu mengurus jumlah air sisa kumbahan yang kian bertambah.

Susulan itu struktur tarif telah disemak semula pada 1 Oktober 2022 bagi perkhidmatan pengosongan tangki septik, dan pada 1 Januari 2023 bagi perkhidmatan pembentungan bersambung. 

Maklumat lanjut boleh dirujuk dalam Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan) 2022 dan (Pindaan) 2025.

Pelarasan tarif ini mencerminkan keperluan untuk mengekalkan dan menambah baik sistem pembentungan negara agar selaras dengan piawaian moden, mematuhi peraturan alam sekitar, serta menyokong pertumbuhan populasi yang semakin meningkat.

Kepada pelanggan yang kurang berkemampuan, dan yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih, IWK telah menyediakan rebat bil pembetungan kepada mereka. IWK kekal komited untuk terus menyediakan rebat secara bersasar ini kepada mereka yang tersenarai di dalam kategori miskin dan miskin tegar di bawah eKasih.

Untuk makluman, purata kos penyelenggaraan bagi premis yang disambung ke sistem pembentungan berpusat adalah sekitar RM17 sebulan, manakala caj semasa hanya dalam lingkungan RM4.09 hingga RM12.32 sebulan, bergantung kepada kategori premis.

Perbezaan ketara antara caj semasa dan kos operasi sebenar juga jelas dalam

perkhidmatan pengosongan tangki septik IWK, pelanggan hanya dikenakan RM192 bagi setiap perkhidmatan, sedangkan kos sebenar adalah sekitar RM430 bagi setiap tangki septik individu.

Ia berdasarkan purata isipadu sedutan 1.7m³ dan kos seunit sebanyak RM263 setiap m³.

Justeru, pelarasan caj pembetungan IWK adalah amat penting agar kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan sistem pembetungan awam berjalan dengan cekap demi memastikan sumber air terjamin, melindungi kesihatan awam daripada penyakit bawaan air serta membasmi salah satu titik pencemaran ke sungai dan alam sekitar. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi www.iwk.com.my atau ikuti laman media sosial IWK.

Artikel Lain