ORANG ramai dinasihatkan agar tidak membeli kabel atau peranti komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) atau Sirim.
Perkara itu dibangkitkan seorang pengguna di media sosial susulan tular satu video memaparkan kabel pengecas yang dibeli pada harga murah di kedai serbaneka popular terbakar.
Menerusi video berkenaan, kelihatan wayar pengecasan itu menyala dan berasap, sekali gus mencetuskan kebimbangan netizen mengenai tahap keselamatan aksesori elektronik murah dalam pasaran.
Di ruangan komen, ramai tampil berkongsi pengalaman hampir sama, termasuk seorang wanita yang mendakwa pernah berdepan situasi berbahaya akibat menggunakan kabel pengecas murah tanpa jaminan kualiti.
Menurut individu berkenaan, kejadian berlaku ketika dia dan suaminya sedang berehat selepas pulang daripada aktiviti mendaki.
Katanya, telefon bimbit dibiarkan dicas sebelum mereka tertidur akibat keletihan.
"Saya letih sangat masa tu memang tidur 'mati' la kan. Selepas bangun tidur, suami cakap dia tak boleh lelap sebab kabel saya cas telefon tu terbakar, bau hangit.
"Saya terkejut dan periksa telefon saya. Memang tempat cas tu ada bau hangit. Telefon tu baru dibeli tak sampai satu bulan.
"Alhamdulillah telefon masih okey dan tak ada apa-apa masalah, jadi saya berhenti beli kabel murah dekat kedai serbaneka," ujarnya.
Susulan itu orang ramai dinasihatkan supaya memastikan semua peralatan komunikasi mempunyai label MCMC bagi tujuan keselamatan.
Ia bagi memastikan semua peranti yang dibeli diperakui dan mematuhi standard seperti yang dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.


