suria

Autopsi psikologi dapati kematian Zara Qairina paling konsisten dengan tamat nyawa sendiri

Kes kematian Zara Qairina masih lagi segar dalam ingatan rakyat Malaysia.

HASIL autopsi psikologi terhadap kematian remaja Zara Qairina Mahathir mendapati punca kematiannya yang paling konsisten adalah bunuh diri.

Perkara itu dimaklumkan Perunding Psikiatri Forensik Hospital Mesra Bukit Padang, Dr Chua Sze Hung, 43, kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah.

Dr Chua berkata, kesimpulan itu dibuat selepas penilaian mendapati mangsa mempunyai lebih banyak faktor risiko berbanding faktor perlindungan ketika insiden berlaku.

Menurutnya, ketidakseimbangan tersebut meningkatkan kerentanan terhadap tingkah laku bunuh diri.

“Gabungan faktor predisposisi dan pencetus menunjukkan tindakan terakhir itu berkemungkinan besar berlaku dalam keadaan tekanan akut yang melampau, pertimbangan terganggu serta kelemahan mekanisme perlindungan diri, bukannya tindakan dirancang rapi untuk menamatkan hayat,” katanya.

Dr Chua menjelaskan perkara itu ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Khamis.

Kes kematian Zara Qairina menyebabkan masyarakat mahukan keadilan dalam siasatan.

Kes kematian Zara Qairina menyebabkan masyarakat mahukan keadilan dalam siasatan.

Dr Chua menegaskan tiada bukti kukuh yang menunjukkan mangsa ditolak secara fizikal pada masa laporan disediakan.

“Saya tidak percaya si mati ditolak kerana tiada bukti yang boleh menyokong dakwaan tersebut,” katanya.

Jelasnya terdapat maklumat menunjukkan mangsa mengalami ketidakstabilan emosi, kemarahan melampau, tingkah laku mencederakan diri, hubungan interpersonal tidak stabil serta ketakutan ditinggalkan.

Namun ia tidak mencukupi untuk membuat diagnosis retrospektif gangguan personaliti.

Walaupun terdapat simptom kemurungan, beliau berpendapat mangsa tidak mengalami penyakit mental serius yang boleh didiagnosis sebelum kejadian.

Katanya, bunuh diri merupakan fenomena kompleks yang tidak semestinya berpunca daripada penyakit mental.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Zara Qairina: Ibu pelajar A sedih anak digelar ‘pembunuh’ walau sudah pindah ke sekolah baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Singkap kes jenayah libatkan pelajar sekolah... Kematian Zara Qairina, insiden ngeri 200 tikaman paling dapat perhatian

“Lebih separuh mangsa bunuh diri tidak mempunyai rekod masalah kesihatan mental, manakala hampir satu perlima percubaan bunuh diri berlaku tanpa gangguan psikiatri yang jelas,” katanya sambil merujuk kajian antarabangsa.

Tambahnya, bunuh diri juga merupakan antara punca utama kematian dalam kalangan remaja di seluruh dunia.

Dalam kes Zara Qairina, antara faktor risiko dikenal pasti termasuk tekanan hidup, persepsi diri negatif, perasaan dibuli, pencapaian akademik tidak memuaskan, sejarah penggunaan rokok elektronik, kemarahan dan tingkah laku agresif verbal.

Ini termasuk kecenderungan mencederakan diri tanpa niat membunuh diri, perpisahan ibu bapa, konflik keluarga, sensitiviti sosial serta keinginan untuk mati.

Faktor pencetus pula melibatkan peristiwa tekanan termasuk sesi soal siasat dan perasaan terasing, selain keadaan lain seperti kekurangan tidur kronik dan kekecewaan berpanjangan.

Dr Chua berkata beberapa faktor risiko tersebut telah wujud sebelum mangsa memasuki sekolah lagi.

Beliau turut memaklumkan laporan psikiatri setebal 84 muka surat disediakan berdasarkan analisis maklumat daripada 40 individu yang menjadi saksi inkues serta dokumen berkaitan kes.

Menurutnya, Pejabat Peguam Negara Sabah telah memohon penilaian psikiatri daripada Kementerian Kesihatan pada 17 September 2025 bagi membantu prosiding inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Satu pasukan tiga pakar kemudian dilantik pada 19 September 2025, terdiri daripada beliau sendiri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Dr Nurulwafa Hussain serta Pakar Psikologi Klinikal Norhameza Ahmad Badruddin.

Pasukan tersebut berpendapat autopsi psikologi merupakan pendekatan paling sesuai bagi membantu mahkamah menentukan kebarangkalian punca kematian serta keadaan yang membawa kepada insiden berkenaan. -The Star

Artikel Lain