suria

[V] Tunjuk kemaluan kepada dua kanak-kanak, pemandu Honda Accord 54 tahun ditahan polis

Tangkap layar dua kanak-kanak menjadi mangsa gangguan seksual seorang pemandu.

SEORANG lelaki ditahan selepas didakwa menunjukkan kemaluannya kepada dua kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Bandar Baru Uda di Johor Bahru, Johor pada Rabu.

Menerusi video yang tular, lelaki berusia 54 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord berwarna hitam dilihat berhenti dan bertanyakan sesuatu kepada kanak-kanak tersebut.

Kedua-dua mereka berjalan kaki dipercayai selepas pulang dari sekolah kemudiannya bertindak melarikan diri [Tonton Video].

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kejadian berlaku pukul 1 tengah hari melibatkan dua kanak-kanak perempuan berusia 12 dan 10 tahun.

“Pada hari sama kira-kira 4.46 petang, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun memaklumkan anak perempuan serta anak saudaranya telah dipanggil oleh seorang lelaki yang memandu kereta jenis Honda Accord.

“Suspek bertanyakan mengenai tandas sebelum bertindak menunjukkan kemaluannya kepada kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Unit D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Utara menahan seorang lelaki tempatan di sebuah rumah di kawasan Masai pada pukul 11 malam hari sama.

“Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan. Suspek kini ditahan dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Johor Bahru,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana amang seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak.

Artikel Lain