PELAKSANAAN dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan berkuat kuasa mulai 15 April ini sebagai langkah awal kerajaan menghadapi impak krisis tenaga global.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, garis panduan terperinci mengenai pelaksanaan arahan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat. Langkah itu merupakan sebahagian strategi menyeluruh untuk menjamin keselamatan tenaga negara serta melindungi rakyat daripada kejutan kenaikan harga secara mendadak.Menurut beliau, kerajaan memilih untuk bertindak lebih awal menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat, berbanding menunggu kesan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat menjejaskan isi rumah dan sektor perniagaan.Antara langkah yang sudah dilaksanakan termasuk pengenalan kuota bulanan 200 liter menerusi skim Budi Madani 95, selain penguatkuasaan penuh mekanisme diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak.Anwar memaklumkan kerajaan kini membelanjakan kira-kira RM4 bilion sebulan bagi menyerap lonjakan harga minyak dunia dan melindungi pengguna daripada tekanan kos hidup.“Ini bukan perkara kecil. Kerajaan menyediakan tambahan RM4 bilion untuk membantu rakyat, namun kemampuan kita juga terhad dan perlu mengambil kira pengalaman negara lain,” katanya dalam taklimat khas pada Rabu.Dalam masa sama, kerajaan giat mempelbagaikan sumber tenaga negara bagi memastikan bekalan bahan api dan elektrik kekal stabil walaupun rantaian bekalan global berdepan gangguan.Syarikat minyak nasional, PETRONAS, katanya, memberi jaminan bekalan minyak dan gas mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei, sekali gus menjadi penampan penting ketika negara mengharungi krisis semasa.Beliau menegaskan situasi semasa tidak boleh lagi dianggap sebagai biasa dan menyeru semua pihak bekerjasama menjimatkan penggunaan tenaga serta mengelakkan pembaziran.“Ini bukan waktu biasa. Kita perlu menyesuaikan gaya hidup dan dasar bagi melindungi rakyat serta memastikan kelestarian bekalan tenaga negara,” katanya.