suria

Pemandu ambil dadah berdepan hukuman mati mandatori... Saktygaanapathy dituduh bunuh penunggang motosikal

Juruteknik berusia 28 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Foto BERNAMA

INDIVIDU yang memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal didakwa atas pertuduhan membunuh.

Menerusi prosiding pada Rabu, Saktygaanapathy Ravichandran, 28, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, pada Ahad lalu.

Pertuduhan itu membawa hukuman mati mandatori atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Saktygaanapathy, seorang juruteknik yang masih memakai kemeja-T putih sama seperti hari kejadian, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dipercayai mengambil dadah iaitu benzodiazepines (Benzo) dan tetrahydrocannabinol (THC).

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mangsa pemandu mabuk kongsi detik hadiahkan Amirul Hafiz motosikal... Arwah jalankan tanggungjawab tanpa mengeluh

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya nak nyawa dibalas nyawa” - Isteri Amirul Hafiz mangsa pemandu mabuk tuntut keadilan untuk arwah suami

Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dadah tersebut yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, tertuduh didakwa memandu melawan arus sebelum merempuh motosikal yang ditunggang Amirul di Jalan Raya Barat.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak di udara sebelum terjatuh di atas bumbung sebuah kereta yang sedang melalui kawasan tersebut. 

Amirul yang juga bapa kepada tiga anak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khartiyayini Ambualagan. 

Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mewakili pihak pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Isteri mangsa, Nurul Nadia Abdul Majid, 32, turut hadir di mahkamah sepanjang prosiding berlangsung. - The Star

Artikel Lain