suria

Ejen nikah Thailand tawar kaedah hutang BNPL untuk bakal pengantin... Siap jaminan sorok daripada pengetahuan isteri pertama

Proses untuk bernikah di Thailand memerlukan belanja yang besar. -Gambar hiasan AI

TULAR di media sosial mengenai satu hantaran mempromosikan perkhidmatan nikah di selatan Thailand hingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Mendakwa sebagai ejen pernikahan, individu itu menawarkan pakej perkahwinan dengan kaedah bayaran ansuran atau 'Buy Now Pay Later' (BNPL), sesuatu yang dianggap luar daripada kebiasaan.

"Jom kita kahwin di Thailand pakai kaedah bayar kemudian. Ya boleh bayar pakai apa-apa BNPL," katanya.

Antara pakej yang ditawarkan merangkumi perkhidmatan nikah sahaja pada harga RM1,899 serta pakej nikah bersama pengesahan konsulat sebanyak RM3,699.

Selain itu, terdapat pakej bernilai RM9,499 yang melibatkan nikah, pengesahan konsulat dan pengesahan sijil perkahwinan di Malaysia termasuk di Perlis dengan menegaskan perkara itu boleh dibuat tanpa pengetahuan isteri pertama.

"Isteri pertama takkan tahu dan tak perlu naik mahkamah," tawar ejen itu lagi.

Malah, ejen berkenaan turut mendakwa perkhidmatan itu bertujuan 'memudahkan urusan'.

Bagaimanapun tawaran tersebut turut dipertikaikan kerana dilihat seolah-olah membuka ruang kepada lelaki untuk berpoligami secara rahsia tanpa melalui saluran undang-undang syariah di Malaysia.

Konsep nikah di Thailand bukan hal yang baharu di Malaysia. -Gambar hiasan

Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak setuju, malah menyifatkan tindakan menggunakan kemudahan kredit untuk berkahwin sebagai tidak bertanggungjawab.

"Sudah la kahwin dekat Thailand lepas tu bayar pakai BNPL pula. Hinanya.

"Sudah tahu diri miskin, tak perlu merenyam la nak tambah cawangan. Dasar miskin hina.

"Nak kahwin pun pakai BNPL nanti balik Malaysia nak daftar perkahwinan bayar lagi denda RM2000.

"Kalau dia tak mampu tak payah la tolong 'mudahkan'. Siap pakej menipu isteri pertama lagi. Semoga disusahkan semua urusan tuan dan klien. Halal tak semestinya tak berdosa.

"Kalau kahwin lari pakai SPayLater macam bodoh je. Nampak sangat kau miskin. Kalau kahwin lari, alang-alang baik bayar tunai tunjuk yang kau kaya dan mampu," komen beberapa netizen.

Dalam masa sama, terdapat juga segelintir pengguna tampil menjelaskan bahawa BNPL hanyalah kaedah pembayaran dan tidak semestinya mencerminkan tahap kemampuan seseorang secara keseluruhan.

"BNPL tu kaedah pembayaran je, tak melambangkan kemampuan secara menyeluruh pun. BNPL tak akan bagi kredit dekat orang yang dia tahu tak mampu bayar.

"Itu namanya leverage. Jenis tak mampu ni yang pinjam ahlong. Bagi yang tak tahu, lagi banyak kita guna hal berkaitan kredit ni.

"Lagi mudah bank nak bagi loan untuk masa akan datang, termasuk la nak beli kereta atau pinjaman rumah," komen individu berkenaan. 

Untuk makluman, kemudahan BNPL yang ditawarkan pelbagai platform menawarkan pilihan bayaran ansuran sehingga 24 bulan.

Bagaimanapun, terdapat caj yuran pemprosesan dikenakan kepada pengguna bergantung pada pelan yang dipilih.

Artikel Lain