suria

Abang ‘ambil nyawa’ adik dengan lapan das tembakan sebelum maut ditembak polis… Suspek rebah di lantai dapur

Seorang pekebun maut ditembak abang kandung dalam kejadian di Kampung Kangkawang pada Ahad.

TRAGEDI berdarah antara dua beradik mengejutkan penduduk di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, Tenom, Sabah.

Ia bermula apabila seorang lelaki menembak adik kandungnya dengan lapan das tembakan di bahagian belakang badan sebelum dia sendiri ditembak mati oleh polis.

Dalam kejadian sekitar pukul 8 pagi pada Ahad itu, mangsa berusia 54 tahun yang juga pekebun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Suspek berusia 57 tahun yang juga abang mangsa dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 8.54 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi.

Azmir berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, penduduk kampung memaklumkan suspek berada di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut akan menembak sesiapa yang menghampirinya.

"Polis kemudian membuat kepungan dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun dia enggan keluar.

Senjata buatan sendiri yang digunakan oleh suspek ketika menembak adiknya.

"Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan ke dalam rumah bagi memaksa suspek keluar, namun dia masih tidak memberikan kerjasama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, situasi bertukar tegang apabila suspek berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata ke arah anggota polis yang berada berhampiran tingkap rumah.

"Bagi mempertahankan diri, pegawai polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek.

"Suspek kemudian rebah di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan lanjut mendapati senjata bakakuk milik suspek masih mengandungi satu butir peluru hidup dalam chamber," katanya.

Polis turut merampas beberapa barangan termasuk laras senjata api bakakuk, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel Lain