ARWAH Amirul Hafiz Omar sedang dalam perjalanan membeli buku Matematik untuk anak sulungnya sebelum dirempuh pemandu mabuk hingga maut dalam kejadian pada Ahad.Menurut isterinya, Nor Nadia Abdul Majid, 32, sebelum kemalangan, arwah juga sempat membalas mesej WhatsApp mengenai keperluan anak mereka. "Dia cakap nak pergi beli buku Matematik anak untuk kegunaan anak masa sekolah nanti," katanya ketika ditemui pada Isnin.Nor Nadia menegaskan suaminya tidak melakukan sebarang kesalahan ketika kejadian itu berlaku."Suami saya tidak buat salah. Dia berada di jalan raya, tidak menggunakan telefon dan tidak laju," katanya sambil menahan sebak.Nor Nadia dalam pada itu bertekad untuk mendapatkan keadilan melalui proses undang-undang demi hak tiga anak mereka yang berusia antara dua hingga sembilan tahun."Saya akan ambil tindakan. Saya perlu berjuang untuk keadilan bagi anak-anak saya. Saya akan saman. Hukuman berat wajib diberikan, penjara sahaja tidak mencukupi. "Saya kehilangan sokongan, anak-anak masih kecil. Saya hanya mula bekerja dua bulan lalu untuk membantu suami. Sekarang suami saya sudah tiada" katanya.Jenazah Allahyarham Amirul Hafiz selamat dikebumikan Ahad malam di Tanah Perkuburan Kampung Repoh di Larut, Perak.Dalam kejadian pada 11.40 pagi Ahad, Amirul Hafiz maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu pemandu mabuk di Jalan Raya Barat di Klang, Selangor.Berdasarkan rakaman yang tular, kereta jenis Honda City dipandu laju memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa melambung tinggi dan terjatuh di atas bumbung sebuah kereta Perodua Myvi.