Penunggan motosikal melambung tinggi selepas dirempuh disahkan meninggal di lokasi kejadian. -Gambar media sosial
SEORANG penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu pemandu mabuk di Jalan Raya Barat di Klang, Selangor pada Ahad.Berdasarkan rakaman yang tular [Tonton Video], kereta jenis Honda City dipandu laju memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang seorang lelaki. Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa melambung tinggi dan terjatuh di atas bumbung sebuah kereta Perodua Myvi dalam kejadian sekitar 11.40 pagi.Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang."Pemandu berkenaan dipercayai telah memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan."Tindakan itu menyebabkan kenderaan dipandunya melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.Beliau berkata mangsa, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah."Hasil ujian saringan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol dan dadah."Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.Lim berkata, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat," katanya.