suria

MyKad tak pernah hilang, wanita asal KL pelik kuota BUDI95 ‘licin’ di Perlis! Syak kerja sindiket seludup ke negara jiran

kuota BUDI95, BUDI95 disalah guna, nombor MyKad disalah guna,

SEORANG wanita dari Kuala Lumpur berasa hairan apabila mendapati kuota petrol di bawah program BUDI95 miliknya habis digunakan di Perlis.

Lebih menghairankan, dia mendakwa tidak pernah mengisi minyak petrol RON95 di mana-mana stesen di negeri tersebut.

Berdasarkan perkongsiannya, 150 liter daripada 300 liter BUDI95 miliknya diisi di dua stesen minyak berbeza masing-masing di Beseri, Kangar dan Kaki Bukit, Padang Besar dalam tempoh kurang daripada tiga jam pada 18 Januari lalu.

Rekod menunjukkan isian pertama dibuat pada 4.35 pagi sebanyak 100.51 liter manakala transaksi kedua pada pukul 7.39 pagi dengan 50 liter.

Jarak kedua-dua stesen minyak itu pula hanya 7.3 kilometer (km).

Dalam kejadian terbaru pada Ahad dan Isnin lepas, sebanyak 76 liter petrol RON95 diisi di sebuah stesen minyak di Padang Besar.

Tangkap layar pengunaan kuota BUDI95 yang didakwa disalah guna di dua stesen minyak di Perlis. -Gambar media sosial

 

Tangkap layar pengunaan kuota BUDI95 yang didakwa disalah guna di dua stesen minyak di Perlis. -Gambar media sosial

"Korang tolong semak transaksi BUDI95. Ada pihak tidak bertanggungjawab seludup minyak di kawsan sempadan Thailand guna MyKad, patut la tinggal 0 liter," katanya.

Bimbang maklumat peribadinya disalah guna, wanita berkenaan memaklumkan dia sudah ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kejadian tersebut.

Dia turut menjelaskan tidak pernah kehilangan MyKad seandainya kad pengenalannya itu digunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Perkongsian itu menarik perhatian ramai dengan ada mengakui pernah berdepan masalah kehabisan kuota BUDI95 yang disalah guna pihak lain.

"Adik saya kena macam ini. Bila semak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rupanya warga asing hanya bagi nombor MyKad sahaja," komen netizen.

Malah ada memberitahu pekerja stesen minyak sendiri memaklumkan tanpa kad pengenalan juga boleh menggunakan kuota BUDI95.

"Boleh je tak pakai MyKad, hanya nombor diperlukan tapi sistem itu kena guna dari mesin BUDI95 sahaja, dan juruwang sahaja boleh buat secara manual.

"Macam stesen kami, memang tak bagi pelanggan serah MyKad sebab isu privasi. Sistem bagi nombor MyKad sahaja tu wujud. Jadi kalau jadi macam ini, memang kena terjah stesen tu," katanya.

Artikel Lain