PELBAGAI taktik digunakan segelintir pelanggan yang membuat pembelian secara dalam talian menggunakan sistem cash on delivery atau COD bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.Perkara itu didedahkan pekerja kurier yang tampil memberi peringatan kepada rakan penghantar dan penjual dalam talian mengenai taktik seorang pelanggan yang kerap memulangkan barang. Dalam kejadian pada Sabtu lalu, pekerja lelaki itu ditugaskan mengambil barang pelanggan di Subang Jaya, Selangor yang ingin dipulangkan semula kepada penjual.Dakwanya, ini bukan kali pertama pelanggan sama memulangkan barang namun dia mula curiga selepas mendapati salah satu berat bungkusan ingin dipulangkan tidak sama dengan asal."Boleh dikatakan hari-hari memang akan ada pick up barang return dekat rumah ini. Tengok saiz kecil je, tengok penerangan barang dekat aplikasi aku rasa musykil."Dia dapat barang, dia request refund dan pulangkan dengan barang lain. Nama (pembeli) sentiasa bertukar tapi alamat sama, bila la syarikat kurier nak senarai hitam pelanggan macam ini," katanya.Menerusi video dikongsinya, lelaki itu membuat semakan barangan yang pelanggan ingin pulangkan iaitu set kombo bekas makanan 5 dalam 1 tetapi bungkusan diserahkan hanyalah kotak kosong tanpa isi.Jelasnya, hampir sebulan dia memperhatikan taktik pelanggan tersebut dan merasakan tindakannya melampau kerana boleh merugikan penjual.Sehubungan itu, dia berharap pihak syarikat kurier dapat mengambil tindakan sewajarnya jika wujud penyalahgunaan sistem pemulangan barang.Jelasnya, perkongsian itu bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak sebaliknya sebagai peringatan kerana masalah penghantaran dan pemulangan barang boleh berpunca daripada pihak kurier atau pelanggan.