suria

2 minggu tidak keluar rumah, Trisha Ooi susah buang watak 'Balqis'... Boleh tiba-tiba menangis sendiri

Trisha akui susa untuk buang watak Balqis selepas tamat penggambaran.

PELAKON Trisha Ooi mendedahkan dia mengambil masa selama dua minggu untuk kembali kepada identiti asalnya selepas tamat penggambaran filem seram terbaharu, Nar’sata: Sekutu Setan.

Trisha atau Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 27, berkata karakter Balqis yang dijayakannya dalam naskhah tersebut meninggalkan kesan emosi yang sangat mendalam sehingga sukar untuk dia melepaskan watak berkenaan sebaik sahaja tamat penggambaran. 

"Kecederaan tak ada tapi nak hilangkan watak Balqis selepas habis penggambaran filem itu mengambil masa lebih kurang dalam dua minggu. Dua minggu baru Trisha kembali kepada diri saya.

Trisha berkongsi perkara itu ketika ditemui media. 

"Tak banyak watak yang saya bawa meninggalkan kesan lama untuk kembali ke diri Trisha dan selain daripada Mah, Balqis juga merupakan karakter yang tak boleh tinggalkan.

"Bukan tak boleh tinggal sebab apa, tapi watak ini memberi kesan yang sangat-sangat dalam untuk sampai boleh nangis sendiri," katanya kepada mStar.

Trisha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada malam gala dan sidang media filem berkenaan yang diadakan di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada malam Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Trisha Ooi juara tinju di Dubai, tewaskan wakil Indonesia... Tak sangka bawa pulang tali pinggang kejohanan

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali sertai kejohanan tinju di Dubai, Trisha Ooi menangis kena jaga makan

Bercerita lanjut mengenai tempoh dua minggu tersebut, Trisha mengakui dia tidak menyedari perubahan tingkah lakunya yang menjadi lebih pendiam dan gemar menyendiri.

Jelasnya, perkara itu hanya mula disedari selepas ditegur oleh pengurusnya yang melihat dia seakan-akan hilang semangat dan enggan bersosial seperti biasa.

"Saya tak boleh nak berborak dengan orang seperti biasa. Benda ini saya tak perasan sebenarnya, yang perasan adalah pengurus saya.

"Selain itu, selera makan. Tapi bagi saya benda itu biasalah sebab dekat set pun kita tak makan sangat kan, waktu tidur kita dah terbalik.

Filem tersebut turut dibarisi pelakon lain seperti Wan Hanafi Su dan Khatijah Tan. 

"Pengurus sata tegur yang kenapa tak ada apa-apa perkembangan, kenapa tidak keluar rumah," ujarnya. 

Menyedari perkara tersebut akan memberikan kesan negative kepadanya, Trisha nekad untuk memaksa dirinya keluar daripada kepompong karakter Balqis demi menjalani kehidupan normal.

"Jadinya, selepas sedar, barulah saya cuba untuk pergi makan luar dan sebagainya, tidak duduk seorang berseorangan kat rumah," ujarnya menutup bicara.

Selain Trisha, filem Nar’sata: Sekutu Setan arahan Pierre Andre turut membariskan pelakon lain seperti Mawar Rashid, Khatijah Tan, Aniq Suhair dan Fadlan Hazim yang dijadualkan tayang di pawagam bermula 21 Mei ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain