suria

Bekalan minyak ada tapi harga tetap naik, ini penjelasan mengapa Malaysia turut terkesan

Harga runcit minyak mengalami peningkatan sejak krisis perang Iran dan AS -Gambar hiasan

KONFLIK antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak dan tidak menunjukkan tanda-tanda ia bakal berakhir dalam masa terdekat ini.

Susulan ketegangan itu, ia turut memberi kesan besar kepada bekalan tenaga termasuk rantaian bekalan minyak dunia termasuk di Malaysia.

Ia susulan laluan perkapalan utama di Selat Hormuz yang menjadi nadi perdagangan minyak global turut terjejas menyebabkan pergerakan minyak mentah mengalami masalah.

Akibatnya, bekalan minyak ke pasaran dunia terganggu, sekali gus mendorong kenaikan harga hampir 40 peratus sejak krisis bermula.

Kos perkapalan, logistik, penghantaran dan insurans turut meningkat dengan ketara, memberi tekanan tambahan kepada pasaran global.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai bimbang harga minyak melambung... Apa sebenarnya bakal berlaku jika Iran tutup Selat Hormuz?

Kenapa Malaysia turut terkesan?

Walaupun Malaysia merupakan antara pengeluar minyak di Asia Tenggara, realitinya negara masih bergantung kepada bekalan import dalam memenuhi keperluan industri dan penggunaan domestik.

Malah 52 peratus minyak mentah yang diproses di negara ini sebenarnya hasil import kerana pengeluaran domestik tidak mencukupi.

Daripada jumlah itu, lebih 38 peratus bekalan melalui Selat Hormuz manakala 14 peratus dari rantau lain seperti Asia Tenggara, Afrika Barat dan Asia Barat.

Sumber minyak mentah dihasilkan sendiri oleh negara hanya pada kadar 48 peratus.

Kebergantungan ini menyebabkan Malaysia tidak terkecuali daripada kesan krisis global.

Sekiranya gangguan ini berterusan, bekalan petrol, diesel, LPG (Gas Petroleum Cecair) dan bahan api pesawat berisiko terjejas selain kemungkinan tekanan terhadap harga yang melambung tinggi.

Apa jaminan bekalan?

Dalam perkembangan sama, PETRONAS memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil.

Rantaian bekalan di stesen Petronas ketika ini dijangka mencukupi sekurang-kurangnya sehingga hujung Mei 2026.

Selain itu, harga bahan api masih berada di bawah kawalan kerajaan, dengan subsidi RON95 dan diesel terus berkuat kuasa.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak panik dan terus menggunakan bahan api seperti biasa, di samping mengamalkan penggunaan secara berhemah.

Dalam perkembangan baharu, harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 2 April hingga 8 April ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, harga runcit petrol RON97 bagaimanapun turun 20 sen kepada RM4.95 seliter, manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.87 seliter bagi tempoh sama.

MOF turut memaklumkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.

Artikel Lain