suria

WFH macam seronok, realitinya penuh cabaran... Ini 10 persediaan awal sebelum bekerja dari rumah

Menguruskan rumah tangga sambil WFH bukan satu hal yang mudah. -Gambar hiasan AI

BEKERJA dari rumah (WFH) dianggap sebagai pilihan lebih fleksibel dan selesa, namun realitinya pendekatan ini datang dengan cabaran tersendiri yang tidak boleh dipandang ringan.

Seorang pengguna di platform Threads, Fareez Sabry berkongsi terdapat beberapa perkara perlu diberikan perhatian dan bukannya sekadar memikirkan keseronokan dapat bekerja dari rumah.

Apa paling penting kata Fareez, seseorang perlu disiplin dalam melakukan kerja termasuk ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian.

1. Disiplin tinggi diperlukan

WFH mungkin kelihatan santai namun hakikatnya memerlukan tahap disiplin sangat tinggi. 

Individu yang bergantung kepada 'mood' berisiko gagal mengurus kerja dengan konsisten.

2. Persekitaran rumah tidak kondusif

Tidak semua kediaman mempunyai suasana kerja sesuai terutama bagi yang sudah berkeluarga. 

Gangguan seperti bunyi televisyen, anak kecil atau keadaan rumah tidak terurus boleh menjejaskan fokus.

3. Tiada sempadan masa kerja

Ramai menyangka WFH memberi lebih masa lapang, sedangkan realitinya waktu kerja menjadi tidak terhad dan bercampur antara pagi, petang dan malam.

Bekerja dari rumah memerlukan disiplin tinggi. -Gambar hiasan AI

4. Risiko burnout (keletihan melampau)

Tanpa pengurusan masa yang baik, WFH boleh menyebabkan keletihan mental lebih cepat berbanding bekerja di pejabat.

5. Kebergantungan kepada motivasi diri

Tanpa pemantauan secara fizikal daripada majikan, individu perlu mempunyai dorongan dalaman yang kuat untuk kekal produktif.

6. Kurang tekanan persekitaran kerja

Sesetengah individu memerlukan suasana pejabat dan tekanan kerja tertentu untuk kekal fokus. Tanpa elemen ini, prestasi boleh merosot.

7. Kekangan teknikal

Masalah seperti capaian internet perlahan atau kelengkapan kerja tidak lengkap boleh menjejaskan kelancaran tugasan harian.

8. Kurang interaksi sosial

Ketiadaan komunikasi secara bersemuka boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental, terutama bagi mereka yang gemar berinteraksi.

9. Sikap sebenar lebih terserlah

WFH mendedahkan tahap disiplin sebenar seseorang sama ada rajin atau pemalas tanpa ruang untuk 'berselindung'.

10. Bukan jalan mudah untuk hidup selesa

WFH bukanlah jalan pintas untuk kehidupan lebih santai. Tanpa mindset yang betul, prestasi kerja boleh merosot dengan cepat.

Secara keseluruhan, WFH menuntut tahap tanggungjawab dan disiplin tinggi, bukan sekadar menawarkan fleksibiliti semata-mata.

Pada Khamis, kerajaan mengumumkan hanya penjawat awam yang tinggal melebihi lapan kilometer dari pejabat dibenarkan bekerja dari rumah sehingga tiga kali seminggu bermula 15 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata pelaksanaan itu melibatkan penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor serta semua ibu negeri di seluruh negara.

Bagaimanapun, sektor keselamatan, pertahanan, kesihatan dan pendidikan dikecualikan.

Bagi negeri bercuti Ahad, WFH dari Selasa hingga Khamis, manakala negeri bercuti Jumaat seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu dari Isnin hingga Rabu.

Kehadiran perlu direkod setiap jam melalui sistem geolokasi, dengan ketua jabatan menetapkan sasaran kerja serta memantau prestasi pegawai.

Artikel Lain