MENJELANG penghujung tahun, ramai mula menyusun semula rutin atau kehidupan seharian dari segi perancangan kewangan, sasaran baharu dan juga susun atur rumah yang menjadi ruang paling kerap didiami.
Antara perkara yang wajar dipertimbangkan ialah proses declutter, iaitu menilai semula barangan yang dimiliki dan melepaskan yang sudah tidak lagi memberi manfaat kepada kehidupan semasa.
Declutter bukan bermaksud membuang kenangan tetapi tentang menyingkirkan 'serabut' yang dalam diam buat kepala rasa penat tanpa disedari manusia.
Perkongsian ini turut selari dengan pendekatan kesihatan mental dan persekitaran rumah yang diketengahkan oleh Public Health Malaysia di media sosial.
Mulakan dengan membuang lima 'penghuni tetap' di dalam rumah yang paling kerap mengambil ruang tanpa kita sedar.
1. Kabel telefon dan wayar elektronik rosak
Kebanyakannya disimpan kerana rasa sayang atau bimbang memikirkan 'mana tahu perlu guna nanti'.
Hakikatnya, ia jarang digunakan semula malah tetap makan ruang.
2. Baju lebih setahun tidak dipakai
Jika setahun berlalu tanpa disentuh, besar kemungkinan ia sudah tidak lagi sesuai dengan keperluan, saiz atau gaya hidup kita sekarang.
Almari sudah penuh pakaian, namun kita masih sering merasakan 'tiada baju untuk dipakai'.

Elakkan daripada menyimpan barang yang rosak atau tidak lagi digunakan. -Gambar hiasan AI
3. Kasut yang tapak sudah lekang atau kulit terkopek
Kasut seperti ini lazimnya ditangguhkan untuk dibuang kerana dianggap 'masih boleh dipakai', sedangkan ia sudah tidak praktikal untuk dibaiki.
Dalam masa sama, kasut baharu telah pun dibeli.
4. Bekas plastik 'yatim piatu' (tanpa penutup)
Bekas tanpa penutup jarang digunakan dan hanya memenuhi ruang kabinet.
Lama-kelamaan, dapur menjadi berserabut walaupun jumlah barangan tidak bertambah.
5. 'Door gift' dan bunga telur lama berhabuk
Barangan ini sememangnya mempunyai nilai kenangan namun apabila dibiarkan berhabuk dan tidak lagi berfungsi, kenangan itu sendiri boleh menjadi beban visual.
Hakikatnya, kenangan tidak hilang walaupun barangan tersebut dilepaskan.
Declutter bukan tentang membuang semua barangan di rumah tetapi merujuk kepada proses memilih dan mengekalkan hanya item yang masih memberi manfaat serta menyokong keperluan kehidupan semasa.


