suria

[V] “Datang buat perangai monyet!” - Jurusolek hilang sabar tengok gelagat rakan pengantin bawa hadiah kondom, tak beradab

Tetamu perlu menjaga adab ketika menghadiri majlis perkahwinan. -Gambar hiasan AI

MENGHADIRI majlis perkahwinan bukan sekadar memenuhi undangan, sebaliknya turut menuntut setiap tetamu menjaga tutur kata, perlakuan dan adab demi menghormati tuan rumah serta memelihara maruah pengantin. 

Namun, sikap segelintir individu yang semakin berani bertindak keterlaluan dengan membawa hadiah berupa kondom lalu diberikan kepada pengantin secara terbuka mencetuskan kebimbangan ramai.

Seorang jurusolek profesional, Dea Khalid, tampil meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir tetamu yang disifatkan semakin berani melakukan perbuatan tidak beradab ketika menghadiri majlis perkahwinan.

Menerusi satu perkongsian di TikTok [Tonton Video], Dea menegaskan kepentingan memilih kelompok rakan yang betul kerana ia mempengaruhi pembentukan jati diri, personaliti dan adab seseorang.

"Pemilihan kawan ini penting supaya mereka tidak datang majlis anda bawa hadiah kondom.

"Dari ceruk mana datang buat perangai monyet lepas tu bawa berpaket-paket kondom dan sarung dekat leher pengantin lelaki mahupun perempuan, joget-joget sambil ambil gambar.

Dea memberi teguran secara terbuka mengenai sikap tetamu yang hadir ke majlis kahwin.

"Mana otak anda semua yang buat macam tu? Mana adab? Kita kalau miskin, susah atau tak berduit ni tak ada masalah tau... tapi ni tak beradab," katanya.

Dea turut menyifatkan perbuatan tersebut sebagai sangat tidak sensitif kerana tetamu yang hadir diberi layanan serta makanan percuma, namun bertindak membawa hadiah menjatuhkan maruah pengantin.

Lebih mengecewakan, rakaman perbuatan itu pula dimuat naik di media sosial sehingga menjadi tontonan umum sebelum diakhiri dengan video permohonan maaf.

"Rakam pula dan post untuk seluruh dunia lihat kebodohan anda itu, kemudian buat video permohonan maaf. Bukan buat permohonan sebab bodoh bawa hadiah tu tapi bagi pihak pengantin sebab memalukan mereka.

"Sebenarnya awak yang memalukan bukan pengantin tu. Pengantin tu sepatutnya malu berkawan dengan anda yang perangai macam monyet datang majlis kahwin orang. 

"Saya memang maksudkan apa yang saya cakap. Benda ni isu yang tak akan selesai selagi tak pandai pilih kawan betul. Pilihlah kawan yang susah atau miskin pun tak apa janji berpelajaran dan ada adab," katanya.

Artikel Lain