suria

[V] Padah parkir atas garisan kuning, tiga kereta diseret treler di R&R Jejantas Ayer Keroh

Insiden yang dilaporkan berlaku di R&R Jejantas Ayer Keroh.

VIDEO tular memaparkan sebuah treler melanggar tiga kereta di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, Melaka mengundang pelbagai reaksi netizen.

Insiden yang berlaku sekitar pukul 5.30 petang hingga 6.30 petang Ahad itu mengakibatkan tiga buah kenderaan mengalami calar dan kerosakan pada bahagian kiri akibat bergesel dengan treler tanpa muatan berkenaan.

Ia berikutan, kenderaan terbabit dilihat diparkir di bahu jalan bertanda dengan garisan kuning hingga menghalang laluan masuk ke kawasan R&R.

Ada yang mendakwa pemandu treler menunggu hampir satu jam bagi memastikan pemilik mengalihkan kenderaan masing-masing.

Malah terdapat rakaman tular yang memaparkan pengguna jalan raya lain cuba mengalihkan sebuah kenderaan bagi membuka laluan yang terhalang.

Namun malangnya, usaha tersebut tidak berhasil sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk.

Situasi tersebut kemudiannya memaksa pemandu treler menghimpit kenderaan terbabit bagi membolehkan ia melepasi laluan berkenaan.

Berdasarkan rakaman, [Tonton Video] kereta yang terlibat adalah dua buah Perodua Alza dan sebuah Proton Iriz berwarna biru.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menyatakan ia adalah pengajaran terbaik buat pengguna jalan raya agar tidak meletakkan kenderaan sehingga menghalang lalu lintas.

"Ini adalah satu pengajaran bagi mereka yang suka parking sesuka hati.

"Tak boleh buat kes pun, sebab salah pemilik kereta yang parking di tepi jalan... bukan kawasan dikhaskan. Pemandu treler ni dah tahu undang-undang.

"Lain kali letak nombor telefon di dashbord kereta tu, bolehlah orang call," demikian reaksi netizen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes berkenaan di bawah siasatan Unit Siasatan Lebuh Raya (USLR) Bukit Aman.

"Lokasi kejadian adalah di kawasan R&R Jejantas Ayer Keroh, Daerah Alor Gajah. Kes ini melibatkan sebuah treler dan tiga buah kenderaan persendirian.

"Siasatan masih dijalankan," katanya.

Difahamkan, pemilik sebuah kenderaan telah membuat laporan polis, manakala dua pemilik kenderaan lain masih belum berbuat demikian.

Artikel Lain