suria

Mak terlepas peluang tunai haji, anak perempuan kebas duit simpanan RM130,000

Seksyen 379 Kanun Keseksaan ialah peruntukan undang-undang di Malaysia yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan mencuri. -Gambar hiasan

MAHKAMAH Majistret Pengerang menjatuhi hukuman denda RM35,000 terhadap seorang suri rumah selepas wanita tersebut mengaku salah atas pertuduhan mencuri wang simpanan RM130,000 milik ibu kandungnya.

Tindakan mencuri daripada dua akaun berbeza mengakibatkan warga emas tersebut tidak dapat menunaikan haji.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Norhasikin Abu Bakar, 31, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh dipenjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: RM10,000 dalam ASB lesap, anak remaja senyap-senyap berjoli macam orang kaya! Hati ibu remuk lepas semak penyata akaun

Mengikut pertuduhan, Norhasikin didakwa mencuri wang berjumlah RM100,000 menggunakan aplikasi THiJARI milik ibunya yang berusia 67 tahun dengan niat mencuri wang berkenaan bagi tujuan peribadi di Felda Gugusan Adela di sini pada pukul 10 pagi, 21 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa mencuri sebanyak RM30,000 menggunakan kad ATM Bank Islam juga milik ibunya dengan niat sama di Bank Islam cawangan Bandar Penawar, pada waktu dan hari yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman yang dikenakan lebih ringan kerana tidak mempunyai pendapatan, manakala suaminya juga tidak mempunyai pendapatan tetap.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Ayu Hidayah Mohd Safri memohon hukuman setimpal memandangkan kerugian RM130,000 itu dialami oleh ibu kandung tertuduh sendiri dan wang berkenaan belum diperoleh semula warga emas berkenaan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM20,000 bagi pertuduhan pertama dan RM15,000 bagi pertuduhan kedua.

Artikel Lain