ADA kalanya seseorang itu tidak menunjukkan tanda demam pada waktu siang, namun suhu badannya mula meningkat selepas malam menjelma.
Keadaan ini menimbulkan persoalan kenapa demam sering memuncak pada waktu malam dan adakah ia menandakan sesuatu yang lebih serius?
Menurut laman advokasi kesihatan, Public Health Malaysia (PHM), fenomena ini berkait rapat dengan perubahan hormon dalam badan.
PHM menjelaskan hormon kortisol, iaitu hormon yang bertindak sebagai ‘brek’ sistem imun, akan menurun pada waktu malam.
Apabila ‘brek’ ini menjadi lemah, sistem imun menjadi lebih aktif dan mula melepaskan bahan kimia cytokine seperti IL-1, IL-6 dan TNF-α untuk melawan virus.
Namun, proses itu turut memberi kesan sampingan.
Cytokine akan ‘menetapkan semula’ suhu badan dalam otak (hipotalamus).

Makan ubat atau segera ke klinik jika demam anda tetus berlarutan. -Gambar hiasan
Otak mula menganggap suhu normal sekitar 37°C sebagai terlalu sejuk lalu menaikkan paras suhu sasaran baharu, contohnya 38.5°C.
Akibatnya, tubuh akan mula bertindak balas dengan cara:
• Mengecutkan salur darah bagi mengekalkan haba
• Menggigil kuat untuk menghasilkan haba tambahan
Itulah punca kita menggigil walaupun suhu badan sebenarnya meningkat, dan apabila suhu mencapai tahap baharu, kulit pula menjadi merah dan muka terasa panas.
Menjelang pagi, paras cytokine kembali menurun menyebabkan suhu badan jatuh dan kita mula berpeluh.
PHM berkata, inilah sebabnya demam akibat jangkitan virus sering memuncak pada waktu malam.
Perlu ke makan ubat demam?
PHM menjelaskan ubat seperti paracetamol tidak menghalang tubuh daripada berlawan, sebaliknya ia membantu mengurangkan ketidakselesaan supaya kita dapat berehat, tidur dan minum air dengan lebih baik.
Jika suhu melebihi 38.5°C atau badan terlalu sakit sampai tak mampu berehat, pengambilan ubat adalah wajar.
Menurut PHM lagi, demam bukanlah musuh, sebaliknya tanda tubuh sedang berjuang.
Apa yang penting, dapatkan rehat yang cukup, hidrasi dengan baik dan jangan abaikan rasa lemah itu seorang diri.


