PEMANDUAN semasa musim hujan menjadi lebih berisiko ekoran permukaan jalan licin serta jarak penglihatan yang terhad.
Oleh itu, pematuhan terhadap langkah keselamatan yang tepat adalah penting bagi memastikan perjalanan selamat dan lancar.
Berikut kami kongsikan sembilan tip pemanduan yang boleh anda amalkan semasa musim hujan:
1. Periksa keadaan kenderaan: Sebelum memulakan perjalanan, periksa komponen penting kenderaan dan pastikan tayar dalam keadaan baik.
2. Jaga jarak selamat: Ketika memandu dalam musim hujan, mengekalkan jarak yang sesuai antara kenderaan dapat mengelakkan perlanggaran jika berhenti secara mengejut.
3. Elak laluan sesak dan jalan rosak: Pilih jalan yang kurang sibuk dan berturap bagi mengelakkan percikan lopak air, tayar tersekat di kawasan bertakung atau terperangkap dalam kesesakan.
Saluran berita dan radio tempatan juga lazim menyiarkan amaran serta panduan ketika cuaca buruk, jadi jangan abaikannya.
4. Kekalkan kelajuan terkawal: Antara tip klasik pemanduan ketika hujan adalah memandu pada kelajuan rendah atau sederhana bagi membolehkan anda menekan brek dan berhenti pada jarak selamat.

Risiko kemalangan lebih tinggi semasa hujan kerana permukaan jalan yang licin. -Gambar hiasan
5. Hidupkan lampu hadapan: Menghidupkan lampu hadapan membantu meningkatkan jarak penglihatan yang terhad akibat hujan lebat serta memudahkan pembacaan papan tanda.
Ia juga membantu pemandu lain mengenal pasti kedudukan anda sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.
6. Elak brek mengejut: Hindari selekoh tajam secara tiba-tiba atau menekan brek mengejut di jalan licin bagi mengelakkan kenderaan tergelincir.
Gunakan sistem navigasi yang baik untuk mengenal pasti selekoh lebih awal dan sesuaikan kelajuan.
7. Simpan kit pertolongan cemas: Disarankan untuk memiliki kit keselamatan dalam kereta bagi menangani kecederaan atau masalah kesihatan kecil sepanjang perjalanan.
8. Pastikan tingkap ditutup: Menutup tingkap dapat menghalang air daripada memasuki ruang dalam kereta dan membasahkan stereng, gear, tempat duduk atau tikar yang boleh menyebabkan ketidakselesaan.
9. Bawa kain mikrofiber: Titisan hujan pada cermin hadapan sering menyebabkan kesan kabus.
Gunakan kain mikrofiber untuk mengelap bahagian dalam cermin bagi mengurangkan masalah itu.
10. Lampu brek: Pastikan lampu brek berfungsi dan menyala bagi mengelakkan risiko kereta anda dilanggar dari belakang ketika pemanduan dalam musim hujan.


