suria

Kes keganasan wanita meningkat... KPWKM jalankan pelbagai program, didik mangsa supaya berani

Nancy menandatangani kempen solidariti EVAW.

TARIKH 25 November pada setiap tahun diiktiraf sebagai Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) di peringkat global.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sambutan ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menghentikan semua bentuk keganasan terhadap kaum Wanita.

"Di negara kita, kes keganasan terhadap wanita masih meningkat. Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes rogol yang dilaporkan tahun 2024 ialah sebanyak 1,899 dan sehingga Ogos 2025, sebanyak 1,273 kes dilaporkan. 

"Bagi kes keganasan rumah tangga pula sebanyak 7,116 kes dilaporkan pada tahun tahun 2024 dan 5,041 kes hingga ogos 2025," ujarnya.

Menurut Nancy, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited menangani keganasan terhadap wanita kerana kesannya melibatkan individu, keluarga, masyarakat dan negara. 

Malah katanya, kesedaran bersepadu, khususnya dalam kalangan lelaki, amat penting bagi membanteras isu ini.

Selain inisiatif menerusi EVAW, program pemerkasaan wanita di bawah KPWKM turut dilaksanakan berlandaskan empat teras.

Ia terdiri daripada wanita dan ekonomi, wanita dan kepimpinan, wanita dan kesejahteraan serta wanita dan keselamatan.

Bangunan KPWKM yang diorenkan sebagai tanda solidariti menentang keganasan terhadap wanita.

Bangunan KPWKM yang diorenkan sebagai tanda solidariti menentang keganasan terhadap wanita.

"KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga giat melaksanakan kempen kesedaran dan advokasi seperti Program Advokasi Anti Gangguan Seksual dan kempen hentikan keganasan terhadap wanita (EVAW). 

"Bagi program advokasi antigangguan seksual, pelaksanaannya adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Antigangguan Seksual 2022 atau lebih dikenali sebagai (Akta 840), yang berkuat kuasa sepenuhnya pada 8 Mac 2024," ujarnya lagi.

Tambahnya, sebanyak 11 program telah dilaksanakan termasuk lima program toleransi sifar keganasan dan enam program kolaborasi bersama agensi awam dan swasta sepanjang tahun 2025.

Menurut Nancy, KPWKM juga komited menangani keganasan rumah tangga melalui pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan dan masyarakat. 

"Bagi menyelaras dan memantau isu serta inisiatif secara holistik, KPWKM menubuhkan Jawatankuasa Kerja Advokasi dan Pembangunan Kapasiti (JKAPK) di bawah Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga (JKRT).

"JPW diberi peranan menyelaras Jawatankuasa Kerja Advokasi dan Pembangunan Kapasiti (JKAPK) melalui platform jawatankuasa kerja dengan melaksanakan pelbagai program advokasi berkaitan keganasan rumah tangga," jelasnya.

Antara inisiatif yang dijalankan ialah perkhidmatan kaunseling, Program MATAHARI, Program serta penubuhan Skuad Waja.

Program IRIS (Literasi Perundangan dan Hak Wanita) pula dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman wanita terhadap isu penganiayaan dari aspek perundangan serta memperkukuh literasi undang-undang.

"Sejak penubuhan Skuad Waja pada Januari 2021 sehingga September 2025, terdapat 339,514 orang Skuad Waja di seluruh negara dengan penyertaan 76,084 lelaki dan 263,430 wanita.

Nancy menyampaikan sijil penghargaan kepada pemenang Pertandingan Video Pendek TikTok sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan terhadap Wanita (EVAW).

Nancy menyampaikan sijil penghargaan kepada pemenang Pertandingan Video Pendek TikTok sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan terhadap Wanita (EVAW).

"JPW turut menyediakan Rumah Perlindungan Wanita (RPW) di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] bagi melindungi mangsa pemerdagangan orang, dengan lima buah RPW diwujudkan termasuk yang diperluaskan di Kota Kinabalu untuk mangsa keganasan rumah tangga," ujarnya.

Tambahnya, JPW turut melaksanakan program Akuwanita@KRT sebagai platform advokasi melalui forum, ceramah, serta sesi intervensi psikologi “k-chat” yang membantu peserta mengurus emosi dan kesan psikologi akibat keganasan rumah tangga. 

Mengulas tahap kesedaran di Malaysia, Nancy berkata ia masih perlu diperkukuh kerana ramai belum tahu cara yang betul untuk bertindak, terutamanya jika penderaan datang daripada orang terdekat.

"Ramai wanita memilih berdiam diri terhadap penderaan kerana takut dengan pasangan, bimbang masa depan anak-anak, kehilangan tempat bergantung, atau rasa malu. 

"Ada juga yang terpengaruh dengan pujuk rayu pasangan selepas insiden keganasan, selain sifat ‘submissive’ yang membuat mereka menganggap penderaan sebagai didikan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, berkata mangsa boleh meminta bantuan atau membuat aduan menerusi Talian Kasih 15999, WhatsApp di 019-26 15999 atau aplikasi mobil Talian Kasih.

"Baru-baru ini juga kita telah melancarkan Kempen “Awak Ok Tak” yang bertujuan untuk menggalakkan orang ramai memanfaatkan Talian Kasih untuk membuat sebarang aduan yang bakal meningkatkan kesejahteraan emosi masyarakat.

"Selian Talian Kasih KPWKM menerusi YKN juga menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang menawarkan perkhidmatan psikososial holistik kepada masyarakat seperti sesi bimbingan dan kaunseling berbentuk immediate relief iaitu kelegaan segera kepada kumpulan sasar," jelasnya lagi.

Menurut Maziah, program di peringkat negeri juga dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) melalui program seperti santuni kasih @KRT yang menampilkan slot “berani lapor”, “elak jadi mangsa”, sesi intervensi kasih pemandiri (kchat) serta pertandingan poster dan video pendek berkaitan keganasan terhadap wanita. 

Dia turut menyeru wanita yang menjadi mangsa agar berani keluar daripada belenggu keganasan dengan segera mendapatkan rawatan, membuat laporan dan mendpatkan bantuan kaunseling daripada agensi berkaitan.

"Wanita pula perlu berani keluar daripada belenggu keganasan walaupun sukar pada awalnya, kerana dengan ilmu dan bimbingan mereka akan memperoleh kekuatan. Wanita juga harus mempunyai daya tindak positif, celik undang-undang dan sedar bahawa hak mereka dilindungi. 

"Bersama sama lah kita membina masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Jadilah seorang pendengar yang aktif dan proaktif dalam membantu mereka ini. Hentikan keganasan terhadap wanita,” ujarnya lagi.

Sambutan EVAW 2025

Tema sambutan tahun ini selaras dengan un women pada tahun 2025 iaitu “unite! To end digital violence against all women and girls”.

Warna tema kebangsaan adalah oren/jingga yang turut diguna pakai secara meluas oleh masyarakat antarabangsa.

Justeru, bagi tahun 2025, antara pengisian utama kempen termasuk:

Kempen “orange the nation”, di mana bangunan-bangunan utama telah dinyalakan dengan warna oren sebagai simbol solidariti.

2. Pameran EVAW 2025 serta walk-a-bout melibatkan edaran 1,000 risalah kesedaran kepada masyarakat.

3. Lawatan YB Menteri KPWKM ke One Stop Crisis Centre (OSCC) terpilih untuk meninjau pengendalian kes keganasan.

4. Kemuncak sambutan telah berlangsung pada 24 November 2025 di Langkawi, Kedah, melalui Program Toleransi Sifar Keganasan dan nyalaan simbolik warna oren pada replika helang di Dataran Lang sebagai tanda solidariti menentang keganasan terhadap wanita.

 

Artikel Lain