suria

Sisi gelap beli rumah lelong, wanita ‘terduduk’ pemilik asal cabut lari tak bayar bil utiliti ratusan ringgit

Pelbagai risiko perlu diambil kira sebelum membeli rumah lelong. -Gambar hiasan AI

SESIAPA sahaja pasti akan berasa teruja apabila berjaya memenangi bidaan rumah lelong pada harga murah.

Namun, di sebalik harga murah yang ditawarkan, terselit seribu satu risiko yang mampu membuatkan pembeli terduduk dan berputih mata sekiranya tersalah langkah seperti dialami seorang pengguna Thread ini.

Meskipun ia tidak melibatkan isu kerosakan struktur atau kaveat, dia bagaimanapun berhadapan 'drama' dengan pemilik rumah yang enggan berpindah keluar.

"Saya beli rumah lelong tapi di dalamnya masih ada pemiliknya. Apabila pergi jumpa, dia jawab tak tahu yang rumahnya dilelong," adunya.

Kebanyakan rumah lelong mempunyai tunggakan utiliti yang banyak. -Gambar hiasan AI

Kebanyakan rumah lelong mempunyai tunggakan utiliti yang banyak. -Gambar hiasan AI

Atas dasar perikemanusiaan, pengadu yang merupakan seorang wanita membenarkan pemilik asal untuk mendiami rumah tersebut hingga berjaya memperoleh rumah sewa.

Bagaimanapun dia menetapkan syarat bahawa individu tersebut perlu membayar sewa bulanan sebanyak RM800 sepanjang tempoh itu.

"Hasil perbincangan, saya bagi dia tinggal sampai jumpa rumah sewa dengan syarat dia bayar sewa bulanan RM800 kepada saya.

"Perjanjian adalah selama dua bulan, tapi lepas sebulan, dia dah keluar," luahnya yang terkilan dengan sikap individu berkenaan.

  • Wanita teruja menang bidaan rumah lelong harga murah.
  • Berdepan masalah pemilik asal enggan keluar rumah.
  • Benarkan tinggal sementara dengan syarat sewa RM800.
  • Penghuni keluar awal, tak bayar sewa dan tinggalkan bil tertunggak.
  • Netizen kata risiko biasa rumah lelong termasuk tunggakan utiliti.

Menurut pengadu, dia bukan sahaja tidak menerima bayaran sewa seperti yang dijanjikan, malah rumah berkenaan memiliki tunggakan utiliti sehingga mencedah ratusan ringgit.

Lebih menambah rasa pilu apabila cubaannya untuk meminta bayaran sewa berkenaan hanya dipandang 'sepi'.

"Dia tinggalkan bil api tertunggak beratus ringgit, bil pembentungan pun RM300 dan tak bayar sewa RM800.

"Apabila saya minta melalui WhatsApp, dia hanya bluetick sahaja," tambahnya kecewa.

ARTIKEL BERKAITAN: Ejen pening klien minta ganti rugi, tak puas hati rumah dibeli banyak cacat cela... Masa dapat kunci tak pula merungut apa-apa

ARTIKEL BERKAITAN: Adik-beradik kutuk beli rumah lelong, dilabel bodoh berhabis duit untuk hartanah buruk! Lepas 5 bulan sibuk tanya siapa kontraktor

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menyatakan 'drama' pemilik asal rumah lelong adalah antara risiko yang perlu diberi perhatian selain tunggakan bil utiliti.

"Itu (masalah) biasa kalau beli rumah lelong, insya-Allah ada rezeki daripada sumber yang lain.

"Rumah lelong, semua tunggakan bil utiliti tu pembeli perlu bayar termasuk juga kos penyelenggaraan bangunan kalau ada.

"Mujurlah dia mahu keluar sebab banyak kes yang pemilik berkeras tak mahu keluar," demikian reaksi netizen.

Artikel Lain