KEBIASAANNYA orang ramai akan menikmati nasi beserta lauk terlebih dahulu sebelum menutup hidangan dengan buah-buahan.
Namun seorang lelaki di aplikasi Threads berkata dia mencuba cara sebaliknya, iaitu makan buah dahulu sebelum hidangan utama.
Menurutnya, dia mendapati amalan ini memberikan manfaat kesihatan yang ketara kepadanya.
"Ada satu hari, nampak kawan aku makan buah dulu sebelum makan nasi. Aku tanya, best ke? Dia kata cuba buat, baru faham.
"Maka aku cuba. Hari pertama aku perasan badan terus on mode. Tak lemau. Perut pun tak jadi macam 'belon' dah.
"Rasa ringan gila. Dan paling best, lepas makan, aku tak mengantuk langsung. Serat buah tu rupanya slow down gula, tu yang bagi tenaga steady," kongsinya.
Menurut pemuda itu lagi, dia baru seminggu sahaja mengamalkan teknik pemakanan berkenaan.
Pandangan sains dan perubatan
Salah satu sebab utama disyorkan makan buah sebelum hidangan utama kerana buah dikatakan membantu proses pencernaan.
Buah mengandungi enzim semula jadi dan serat yang dapat menyediakan sistem pencernaan untuk hidangan seterusnya, sekali gus meningkatkan penyerapan nutrien.

Pengambilan buah-buahan menjadikan diet anda lebih seimbang. -Gambar hiasan AI
Beberapa nutrien dalam buah, seperti vitamin C, lebih mudah diserap dalam persekitaran berasid.
Mengambil buah sebelum makan, apabila keasidan perut masih rendah, boleh meningkatkan penyerapan nutrien-nutrien tersebut.
Terdapat juga saranan makan buah selepas hidangan utama.
Sesetengah pihak berhujah memakan buah selepas hidangan utama dapat membantu menstabilkan paras gula dalam darah.
Makan buah ketika perut kosong mungkin menyebabkan lonjakan gula dalam darah yang lebih cepat.
Realiti
Walaupun kedua-dua hujah ini kelihatan meyakinkan, masa pengambilan buah berkemungkinan tidak memberi kesan besar terhadap kesihatan atau pencernaan secara keseluruhan bagi kebanyakan orang.
Menurut pakar gastroenterologi, Dr. Chris Zavos perkara paling penting adalah mengekalkan diet yang seimbang dan berkhasiat, termasuk pengambilan buah yang mencukupi.
Tubuh badan merupakan sistem yang kompleks dan mampu mengurus pelbagai jenis makanan pada masa yang berbeza.
Adalah lebih utama untuk menumpukan perhatian kepada kualiti keseluruhan diet anda, daripada terlalu risau tentang bila waktu yang tepat untuk memakan sesuatu makanan.


